BELANJAWAN 2021 : Naikkan jumlah BSH kepada RM5000 untuk pulihkan kitaran ekonomi negara

Kuala Lumpur, 5 November : Keadaan ekonomi rakyat yang semakin menghimpit secara tidak langsung telah mengakibatkan impak yang besar kepada keadaan ekonomi negara secara keseluruhannya. Indeks BSKL yang tidak menentu dalam tempoh 2 bulan ini dan ramai pekerja yang diberhentikan kerja secara mengejut adalah kesan yang jelas daripada impak tersebut.

Timbalan Ketua Pemuda BERJASA (ANGKASA), Ad Satiman menjelaskan bahawa untuk memulihkan kitaran ekonomi negara, kerajaan perlu menyuntik semula dana kepada rakyat supaya mereka boleh berbelanja dan menggerakkan kembali kitaran wang dalam ekonomi kita.

“Kita mahu mengesyorkan kepada pihak kerajaan dalam belanjawan kali ini untuk membantu peniaga-peniaga kecil dengan menyediakan geran berjumlah RM5000 bagi menampung kos tetap perniagaan mereka yang ternyata terkesan akibat pandemik Covid-19 ini.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu menambah elaun bantuan sara hidup BSH kepada RM5000 kepada setiap isi rumah yang layak bagi meringankan beban kelompok ini.

“Walaupun ia akan memakan belanja yang besar daripada kerajaan, tetapi itulah kaedahnya untuk memulihkan ekonomi kita dalam pelan jangka masa pendek.

“Jika kerajaan tidak mahu menyuntik dana ini kepada rakyat, kerajaan juga akan terkesan untuk tempoh pelan jangka masa yang panjang apabila ekonomi rakyat semakin lembab,” katanya.

Beliau berkata ketika demikian mengulas Belanjawan Alternatif 2021 yang telah dilancarkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Parti BERJASA Malaysia di Ibu Pejabat BERJASA. – Wartawan BERJASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *