Ucapan penuh Presiden sempena pelancaran wajah baharu BERJASA

BERJASA: SEJARAH DAN PENGENALAN

Sempena hari bersejarah ini, setelah 43 tahun ditubuhkan, kita jenamakan semula BERJASA dengan satu agenda besar untuk membina satu tamadun yang berteraskan Islam yang membawa kebahagiaan dan kesejahteraan untuk semua.

BERJASA ditubuhkan pada tahun 1977, pernah memerintah Kelantan dan menyertai kerajaan Persekutuan. Pernah bersama juga gagasan pembangkang seperti Angkatan Perpaduan Ummah, BERJASA melalui perjalanan politik yang pelbagai disulami dengan suka dan duka.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengungkapkan penghargaan kepada semua veteran BERJASA yang telah berkorban demi memastikan BERJASA hidup dalam perjuangannya hingga ke hari ini. Tanpa mereka, kita tidak akan sampai ke tahap ini.

Alhamdulillah setakat hari ini, ibupejabat lengkap BERJASA telah wujud, Badan Perhubungan Negeri seluruh Malaysia termasuk Sabah serta bahagian-bahagian dibangunkan, sayap Wanita dan sayap Pemuda Pemudi (ANGKASA) digerakkan, Majlis Pilihanraya Pusat ditubuhkan, sekolah politik dibangunkan, majlis CENDIAKAWAN yang menggabungkan ulama dan profesional diwujudkan, Pusat Kajian dibangun dan dilaksanakan dan pengkaderan ahli-ahli dijalankan secara intensif.

Barisan kepimpinan parti bagi sesi 2018-2021 telah mengambil keputusan besar untuk meremajakan dan menjenamakan semula BERJASA, agar dapat menyahut cabaran kepimpinan politik negara masa kini dan akan datang.

SEMPENA MERDEKA

Kita masih berada di ambang sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke 63 sehingga September 16. Kemerdekaan yang menjadi buah mulut ramai orang; namun kita semua sebagai umat Islam mesti kembali kepada memahami maksud kemerdekaan dalam ertikata yang sebenar. Bebas dari penjajahan fizikal, tetapi masih terbelenggu dengan bentuk penjajahan lain, bukanlah merdeka namanya.

Zaman sebelum kemerdekaan, penjajahan lebih berupa kepada perompakan kekayaan sesuatu bangsa sedang perhambaan pula lebih berupa kepada penguasaan terhadap diri sesuatu golongan yang mengakibatkan pemerasan tenaga fizikal demi kepentingan tuannya. Namun, selepas kemerdekaan, penjajahan dan perhambaan bentuk baharu menguasai kehidupan apabila yang diperas adalah pemikiran dan jiwanya. Maka lahirlah golongan rakyat yang hidup di sebuah negara yang merdeka tetapi mempunyai jiwa hamba dan minda yang tertawan. Natijahnya, lahirlah umat Islam yang tidak merasa ‘izzah’ (mulia) dengan Islam.

Masyarakat dan negara kita hendaklah bebas dari dikuasai oleh kapitalis yang bergerak secara berkelompok mahupun individu yang digelar sebagai ‘warlord’ yang dengan rakus cuba memonopoli ekonomi dan kehidupan sosial dengan menjajah pemikiran rakyat tanpa memikirkan kebahagiaan dan kesejahteraan orang lain. Sudah sampai masanya kita menolak sebarang usaha untuk menjadikan mana-mana individu, masyarakat dan negara sebagai ‘tawanan dan hamba’ melalui berbagai mekanisme seperti hutang yang mencengkam, ‘doktrin politik’ sesat, penunggangan agama demi kepentingan sendiri dan parti, pemilikan harta secara haram, peras-ugut dan lain-lain.

Hayatilah ma’ani dari ungkapan kata-kata seorang sahabat Nabi saw, Ribie Bin Amir kepada panglima tentera musuh, Rustum, apabila ditanya tujuan kedatangannya ketika itu:

‘Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami memerdekakan manusia, daripada pengabdian diri sesama manusia kepada pengabdian diri hanya kepada Allah,  daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat’.

Inilah erti kemerdekaan sebenar.

NARATIF: IDENTITI BERJASA

Identiti BERJASA adalah identiti watan Malaysia. Watan merujuk kepada Tanah Melayu, iaitu Persekutuan Tanah Melayu, yang terdiri daripada gabungan sembilan kerajaan negeri bersama negeri-negeri Selat, yang kemudiannya disertai Sabah dan Sarawak, menjadi Malaysia.

Watan ini berdaulat, iaitu berkerajaan, sebelum kedatangan British lagi, berasal daripada Kesultanan Melayu Melaka. Sehubungan itu, watan ini mempunyai jatidirinya yang tersendiri, iaitu Melayu dan Islam, berdasarkan aspek sejarah, geopolitik dan peradabannya; meliputi bahasa dan budaya, falsafah pemikiran, sikap, perlakuan dan sifat penduduknya sejak berkurun yang lampau.

Jatidiri tersendiri ini telah terpahat dalam bentuk perlembagaan, bermula dengan Hukum Kanun Melaka, diikuti dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang kemudiannya menjadi Perlembagaan Malaysia. Seterusnya, identiti ini diperteguhkan lagi dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Budaya Kebangsaan.

Kepentingan watan, di sisi BERJASA, mengatasi kepentingan politik kepuakan, yang selama ini telah merabik aset kekuatan umat Islam khususnya, dan rakyat Malaysia amnya, akibat kemelut politik yang berpunca daripada sikap tamak dan rakus individu dan parti tertentu.

Justeru BERJASA mengutuk budaya politik wang yang menyimpangkan kesetiaan daripada negara; amalan kronisme dan nepotisme yang menggadaikan integriti; fahaman liberal dan sosialis sekular yang mencabut akar jatidiri watan ini.

Berdasarkan kerangka watan ini juga, BERJASA menerima kemajmukan kaum dan agama dalam kalangan anak watan ini sebagai kepelbagaian dalam identiti nasional yang satu. BERJASA tegas berpendirian bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri hubungan etnik, ke arah integrasi dan perpaduan nasional, serta menamatkan fenomena chauvinisme. BERJASA memperjuangkan agenda pemerkasaan orang Melayu dan bumiputera dalam segenap bidang, demi kestabilan politik jangka panjang, melampaui sempadan kepartian dan wilayah kuasa.

GAMBARAN NEGARA DENGAN AGENDA DAN LANGKAH KE HADAPAN

Apa erti hari pelancaran penjenamaan BERJASA pada hari ini? Kita bukan hanya merasmikan sebuah bangunan dan menzahirkan identiti parti, malahan kita mempunyai agenda yang besar untuk negara dan ummah dengan mengangkat dan memertabatkan politik baru.

Dalam kemelut perebutan kuasa politik hari ini yang mengakibatkan lahirnya politik lompat-melompat, pengkhianatan agenda agama dan bangsa, pemujaan dan pengukuhan warlord, ketandusan pimpinan muda, prinsip dan maruah tergadai, BERJASA tampil dengan politik baru untuk memberi alternatif kepada rakyat. Dengan BERJASA, rakyat dan negara ada harapan, ada masadepan yang gemilang, dan ada penyelesaian.

Kita ada falsafah tersendiri iaitu kepimpinan pemerintahan berasaskan hikmah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan demi keamanan, kemakmuran dan kebahagiaan insan melalui dominasi dan hegemoni politik. Wajah negara yang kita impikan adalah sebuah negara Islam berteraskan manhaj nubuwah yang beridentiti Melayu dengan sistem politik yang bebas daripada dominasi elit liberal kepada yang memperkasakan kuasa ummah.

Kita inginkan sebuah negara yang mengoptimakan sepenuhnya sumber negara samada modal insan dan sumber alam dan asli negara dengan memelihara kelestarian sumber alam dan ekonomi.

Kita mahu hapuskan dominasi pegangan asing [tempatan dan antarabangsa] ke atas sumber dan ekonomi negara di mana kebergantungan ilmu, teknologi dan pembangunan industri kepada luar, diminimakan.

Kita impikan sebuah masyarakat yang berasaskan aqidah dan ukhuwah Islam serta wujud identiti nasional yang berasaskan peradaban Melayu-Islam tanpa menggadaikan prinsip keadilan dan kebenaran.

Malaysia yang kita ingin lihat adalah sebuah negara yang kuat dengan menjaga keutuhan wilayah sedia ada dan wilayah yang berstatus ‘irredenta’ serta mampu mengatasi tekanan kuasa besar dan rekabentuk orde dunia.

TAWARAN PARTI BERJASA KEPADA RAKYAT

Sebuah parti yang mereka boleh letakkan kepercayaan dan harapan disebabkan prinsip dan integriti yang dibawa. Pemimpin yang berwibawa, berintegriti, bermaruah dan berprinsip, dan setia pada agama, bangsa dan negara.

BERJASA menjadikan hikmah sebagai neraca dan pendekatan, dalam mengemukakan penyelesaian terhadap segala permasalahan anak watan dan mengangkat martabat negara dalam kepimpinan antarabangsa.

Rakyat akan mendapat pembelaan yang sebenar dari BERJASA yang meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan berazam menghapuskan politik wang dan penganiayaan oleh kapitalis dan ‘warlord’.

Rakyat akan menikmati kemakmuran dan kesejahteraan menerusi sebuah negara yang mengoptimakan sepenuhnya sumber negara samada modal insan dan sumber alam dan asli negara yang bebas dari pergantungan anasir asing yang mencari peluang melemahkan negara.

Keamanan, keharmonian dan perpaduan melalui sebuah masyarakat yang berasaskan aqidah dan ukhuwah Islam serta wujud identiti nasional yang berasaskan peradaban Melayu-Islam tanpa menggadaikan prinsip keadilan dan kebenaran.

AKHIR KALAM

Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia: ahli-ahli akademik, ulama, ahli profesional, penjawat awam, golongan pekerja dan semua lapis masyarakat, memberi peluang kepada BERJASA untuk membuktikan apa yang disebut di atas. Kami yakin kami mampu merubah negara dengan kerjasama dan sokongan anda semua.

Kami percaya jika politik tanahair disertai dan dikuasai oleh mereka yang berkepentingan individu, tamakkan harta dan kedudukan, menjadi boneka, negara akan hancur.

Maka kami ingin membuka peluang seluas-luasnya kepada mana-mana individu yang cintakan tanahair, yang ikhlas berjuang untuk mendaulatkan watan ini dan yakin dengan pendirian dan prinsip kami, untuk menjadi calon BERJASA dalam PRU15 yang akan datang.

BERJASA percaya di luar sana masih ada individu yang berwibawa, ikhlas, berintegriti dan berwawasan yang mahu melihat perubahan lanskap politik negara dalam memperjuangkan kepentingan rakyat. Kita bukan parti yang taksub dengan politk kepartian tapi kami adalah negarawan yang mahu melihat negara dibangun dan diurus kearah satu tamadun unggul berasakan kebenaran dan keadilan. Inilah masuliyah atau tanggungjawab kita bersama. Sila hubungi kami dan kita berbincang dengan hati yang terbuka.

Kepada ahli-ahli BERJASA, marilah kita rapatkan saf dan bersatupadu dalam semangat ukhuwah sebenar untuk membawa agenda yang besar ini semata-mata untuk mengharapkan redha Allah.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *