Kerana desakan MCA, pada 1996 UMNO telah membuka pintu sekolah vernakular

Kenyataan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique, bahawa kerajaan PN tidak akan memansuhkan sekolah vernakular sudah dijangka.

Ini berdasarkan reputasi UMNO dalam mengendalikan isu sekolah vernakular selama puluhan tahun.

Pada 1996, bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, adalah individu yang bertanggungjawab memansuhkan Akta Pelajaran 1991 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada menteri berkenaan untuk menutup sekolah vernakular.

Berhubung isu ini, Berjasa tegas berpendirian bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah tiang seri hubungan etnik, ke arah integrasi dan perpaduan nasional, serta menamatkan fenomena chauvinisme.

Perpaduan nasional tidak akan tercapai dalam keadaan anak-anak watan ini dididik dalam aliran yang tidak mendukung aspirasi identiti negara menurut Perlembagaan Persekutuan.

Sekolah vernakular perlu dimansuhkan, demi kemaslahatan negara. Isu ini sepatutnya tidak dijadikan bahan kempen politik, seperti yang berlaku semasa Perhimpunan Agung UMNO 2014, yang jelas sekadar mempermainkan sentimen orang Melayu.

Berjasa sedang mengkaji dasar dan polisi berkaitan pemansuhan sekolah vernakular dan pemerkasaan sekolah kebangsaan serta jalan penyelesaian bagi implikasi yang dijangka timbul, agar apabila tiba masanya, Berjasa bersedia untuk melaksanakannya.

Pendirian Berjasa ini selari dengan asas hikmah dalam menyusun urutan prioriti urusan pemerintahan negara. Maslahat negara tidak harus sekali-kali digadaikan demi memenuhi maslahat kaum, kumpulan, parti atau individu tertentu.

Mohd Hazizi bin Ab Rahman

Naib Presiden Berjasa
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *