Perutusan Hari Raya Aidiladha 2020

PERUTUSAN HARIRAYA AIDILADHA 2020 PARTI BERJASA

1. Bersempena Hariraya Eiduladha yang akan kita sambut pada 10 Zulhijjah 1441 H, saya mewakili semua warga Parti Berjasa ingin mengucapkan Selamat Hariraya Eiduladha, wakullu ‘am wa antum bikhair!

2. Hariraya Eiduladha merupakan satu hari besar yang diraikan oleh Islam sebagai tanda kemenangan umat Islam dalam perjuangan mentaati perintah Allah dan RasulNya serta berkorban demi agama Islam yang tercinta ini.

3. Jika pada hariraya Eidulfitri yang lepas, kita meraikan hariraya dengan jihad dalam PKP akibat wabak Covid-19, alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah swt pada kali ini banyak kelonggaran telah diberi untuk merentas negeri, melakukan solat Eiduladha, ibadat korban dan lain-lain.

4. Marilah kita jadikan sambutan Eiduladha pada tahun ini dengan mengingati kebesaran ibadat haji, pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, serta yang berkaitan dengannya. Kita perlu bermuhasabah melihat sepanjang hidup kita ini, berapa banyak pengorbanan yang telah kita lakukan untuk menegakkan agama Allah ini.

5. Islam menuntut kita mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit kita untuk memastikan agama Allah ini berada dalam kedudukan tertinggi dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ini dapat dilakukan jika kita berjaya membina dan mengangkat tamadun Islam ke satu tahap yang tertinggi dan menggantikan semua tamadun yang merosakkan umat.

6. Berjasa juga ingin mengajak kita semua untuk mempertahankan yang hak (kebenaran) dan menegakkan keadilan bagi memastikan kesempurnaan insaniah (kemanusiaan) dalam memburu kebahagiaan sebenar di dunia dan akhirat.

7. Akhir sekali, jangan kita lupa rangkap-rangkap dalam lafaz takbir raya dimana kita sering diingatkan tentang peristiwa Perang Ahzab. Pada perang ini umat Islam ketika itu diserang dari setiap penjuru sebagaimana juga yang berlaku pada hari ini. “Allah telah membenarkan janjinya, membantu hambanya, dan mengalahkan pakatan al-Ahzab dengan sendirinya.” Takbir ini bukan sekadar mengingatkan kita tentang kesusahan perjuangan Rasulullah membawa Tauhid, ia juga adalah ikrar kita untuk memerangi kekufuran sekalipun dibenci oleh orang kafir. Ia termaktub dalam lafaz: “dan kami tidak menyembah selain Allah, dalam keadaan ikhlas dan bagiNya adalah agama (kami patuh ajaran agama), sekalipun dibenci oleh orang kafir.” Sedarlah kita bahawa inilah takbir yang kita ikrarkan setiap hari perayaan. Orang beriman tidak bimbang dibenci golongan kafir ketika berjuang meletakkan Islam di posisi yang tertinggi.

8. Semoga dengan semangat pengorbanan sempena hariraya Eiduladha ini, akan menjadikan kita orang yang lebih dekat dan bertaqwa kepada Allah swt dalam menunaikan tanggungjawab kita dalam memperjuangkan agama Allah swt untuk membangunkan semula satu peradaban Islam yang gemilang di masa akan datang.

9. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd!

 

Dr Badhrulhisham Abdul Aziz

Presiden BERJASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *