Untung Rugi Negara Akibat Mainan Politik Gila Kuasa

Ketika kerajaan dan rakyat sedang bertungkus-lumus berusaha memerangi wabak Covid-19, masih ada lagi sekelompok ahli politik yang gilakan kuasa sehingga sanggup mengambil apa sahaja tindakan untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

Walaupun pernah beriya-iya dahulu memohon sidang parlimen diadakan hanya untuk membahaskan isu Covid-19 dan masalah rakyat serta negara, sekarang ianya berubah menjadi kepada membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Memang jelas pembangkang Pakatan Harapan tidak memikir atau memperjuangkan nasib rakyat, tetapi hanya ingin merebut kuasa. Sudahlah selama 22 bulan memerintah dengan prestasi yang buruk dari segi pencapaian ekonomi dan lain-lain, kini mereka ingin sekali lagi berkuasa yang kesannya akan menambahkan penderitaan rakyat.

Negara amat rugi apabila pembangkang seperti Pakatan Harapan meletakkan kepentingan agenda tamak mereka berbanding dengan kepentingan rakyat. Negara memerlukan kerjasama semua untuk keluar dari kesan wabak Covid-19 ini dengan masalah kesihatan dan ekonomi yang serius seperti kadar pengangguran meningkat, usahawan kecil dan sederhana hilang sumber pendapatan dan lain-lain.

Sudah sampai masanya rakyat menolak ahli-ahli politik yang gila kuasa ini dan memastikan Pakatan Harapan ini tidak kembali berkuasa. Ahli-ahli politik seperti Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan seumpamanya patut dibersarakan dan diganti dengan pemimpin yang lebih muda dan lebih berintegriti serta berjiwa rakyat.

Amat sayang sekali pengalaman lama mereka dalam politik tidak menjadikan mereka lebih matang. Dan juga tidak dijadikan pengajaran untuk membawa Malaysia kearah lebih baik lagi, tetapi lebih kepada menjadikan mereka tamak dan terdesak. Di mana kepentingan rakyat dalam kamus mereka?

Langkah positif kearah menstabilkan negara dengan memastikan wabak Covid-19 terkawal sepenuhnya, keadaan ekonomi kembali pulih, penderitaan rakyat diminimakan, sektor pendidikan diteruskan dan lain-lain, sepatutnya berada dalam minda semua ahli politik tidak kira pemerintah atau pembangkang, sebagai agenda dan keutamaan paling penting buat masa ini.

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden, Parti BERJASA
9 Mei 2020

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *