Salam Ramadhan Al-Mubarak

1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya, Allah panjangkan umur kita, bertemu sekali lagi bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan.

2. Ramadhan boleh dianggap sebagai madrasah atau universiti tarbiyah yang mana keluaran atau graduannya yang lulus dengan cemerlang mengharapkan keampunan, rahmat dan kebebasan dari api neraka sebagai ganjarannya.

3. Rasulullah s.a.w. telah menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Di mana Allah mewajibkan kamu berpuasa, kerana pada bulan Ramadhan dibukakan semua pintu syurga, dikuncikan pintu-pintu neraka dan di belenggukan syaitan, dan juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barang siapa diharamkan dan ditegahkan daripada mendapat kebajikan pada malam ini, bererti tertegahlah ia dari segala bentuk kebaikan”.

4. Di tanahair kita, walaupun kita menyambut Ramadhan dalam keadaan kita dan seluruh dunia semuanya, sedang berdepan dengan wabak Covid-19, dan dalam PKP, kita sepatutnya lebih banyak menzahirkan kesyukuran kepada Allah swt dengan keadaan negara kita yang berada lebih baik dan beruntung daripada kebanyakan negara-negara lain.

5. Wabak Covid-19 dan PKP yang sedang kita alami, marilah kita jadikan sebagai peringatan dari Allah swt bahawa betapa kerdilnya usaha dan kekuatan manusia. Allah menghantar makhluknya yang tidak kelihatan dan satu dunia termasuk kuasa besar dunia tidak dapat mengawal dan mengatasinya dengan segala kekuatan senjata mahupun kekayaan dan teknologi.

6. Peringatan sedemikian, datang ketika Ramadhan kunjung tiba, menginsafkan kita bahawa segala kemuliaan, kebesaran dan kekuasaan adalah milik Allah jua. Keinsafan juga tentang kematian yang tidak akan terlepas dari sesiapa jua baik pemimpin tertinggi negara atau pun rakyat marhaen.

7. Ramadhan menuntut kita untuk berubah; keluar dari rutin seharian kita dengan sebenarnya, lebih penting daripada perubahan ‘new normal’ akibat dari PKP ini. Ramadhan mengajar kita untuk bersungguh-sungguh mencapai matlamat akhir iaitu bertaqwa dan ini dapat dicapai jika kita berazam untuk berubah serta istiqamah dalam melakukan amal ma’aruf, nahi mungkar.

8. Perubahan yang dituntut adalah bermula dengan diri kita, kemudian keluarga dan masyarakat seterusnya kepada negara. Rebutlah peluang dalam bulan Ramadhan ini untuk kita bermuhasabah dan berazam menjadikan diri kita, keluarga, masyarakat dan negara kearah keredhaan Allah swt dalam semua perkara.

9. Kalau dalam keadaan sekarang, kita berharap atau meminta PKP ditamatkan segera, ia amat berbeza dengan Ramadahan; sekiranya kita mengetahui kelebihannya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Sekiranya umatku mengetahui kebesaran dan kelebihan Ramadhan, nescaya mereka akan meminta agar sepanjang tahun adalah Ramadhan”.

10. Sempena ketibaan Ramadhan tahun ini, kami dari Parti BERJASA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan selamat menjalani ibadah puasa kepada muslimin dan muslimat.

11. Semoga Ramadhan tahun ini merupakan Ramadhan terbaik untuk kita dalam membuat perubahan sebenar kearah kehidupan yang lebih bermakna demi mencapai keredhaan Allah. Marilah kita menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan keinsafan disamping tidak melupakan saudara-saudara kita di Malaysia dan di luar sana, yang mungkin tidak bernasib baik seperti kita, dari segi aspek kesihatan, keselamatan, keamanan dan kewangan.

Dato Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden, Parti BERJASA

23 April 2020

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *