Peluang Keemasan Kerajaan PN Untuk Jujur Buat Perubahan

Wabak covid-19 yang melanda negara kita Malaysia memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat. Kehidupan seharian rakyat telah berubah dan dijangka akan berubah dengan banyak selepas wabak ini reda.

Kerajaan yang ada pada hari ini berada dalam situasi yang genting yang bukan sahaja kena berhempas pulas mengatasi krisis ini tetapi juga berhadapan ujian ketahanan dan keutuhan sebagai sebuah kerajaan yang berwibawa.

Berdasarkan senario ini, saya ingin menyarankan kerajaan mengambil peluang keemasan ini untuk membuat secara jujur perubahan kepada negara yang lebih baik dari 2 kerajaan yang lepas. Rakyat menuntut komitmen kerajaan untuk tidak melakukan kesilapan-kesilapan lepas yang dibuat oleh kerajaan BN dan PH.

Lima perubahan besar dan mendasar perlu dibuat oleh kerajaan PN demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara di masa terdekat ini.

Pertama, memberi tumpuan menstabilkan negara dari segi perpaduan rakyat Malaysia dengan menegakkan secara bersungguh-sungguh perkara-perkara asas yang terdapat dalam perlembagaan negara. Kestabilan dan keharmonian negara akan hanya dapat dicapai jika semua warganegara Malaysia berpegang teguh dengan konsep watan bangsa Malaysia dengan pengiktirafan Melayu Islam sebagai identiti negara dengan keabsahan dan hak-hak kaum lain sebagai warganegara. Melalui pendidikan rendah dan menengah, hubungan erat dan kerjasama antara kaum perlu diberi penekanan. Ketegasan dalam mengujudkan satu aliran pendidikan nasional dibawah satu bumbung serta penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, utama dan pengantara dilaksanakan tanpa kompromi.

Kedua, memberi komitmen dan melaksanakan usaha-usaha mendirikan sebuah kerajaan yang berintegriti dan adil untuk semua. Satu sistem tadbir urus baik yang cemerlang agar sistem penyampaian dalam semua sektor dapat direalisasikan. Perlantikan semua pemimpin dalam kerajaan, GLC, agensi-agensi terdiri dari mereka yang bersih dan bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa, diamalkan.  Syarat kompetensi mesti diutamakan dan lantikan politik di semua segmen dan peringkat, mesti dihentikan dan diganti dengan sistem yang mengutamakan konsep ‘al-qawi (kuat) al-amin (jujur)’.

Ketiga, pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama agar semua rakyat tidak kira latarbelakang bangsa dan agama, dapat sama-sama menikmatinya. Ini dapat dilakukan dengan pelaburan besar dalam menyediakan prasarana dan perkhidmatan terbaik dalam sektor kritikal negara seperti kesihatan, pendidikan, kebajikan, agama dan keselamatan. Perkasakan institusi zakat dan wakaf yang mampu menyumbang dengan signifikan dan berterusan. Hapuskan sistem riba dan laksanakan sistem kewangan Islam secara menyeluruh.

Keempat, membangunkan satu model ekonomi yang menumpukan kepada pemerkasaan ekonomi setempat dalam menjadi sebuah negara yang berdikari, mempunyai daya ketahanan (resilience) dan berdaya saing. Ini penting untuk kita tidak bergantung kepada negara lain samada dalam sumber manusia dan lain-lain seperti dalam mendapatkan makanan asas hingga kepada pembelian peralatan pertahanan. Sektor pertanian perlu diberi nafas baru dan dijadikan tumpuan utama disamping meneruskan usaha-usaha pembuatan produk tempatan yang bertaraf dunia. Sinergikan kemajuan teknologi seperti 4th IR dalam pertanian, pembuatan dan perindustrian. Letak keyakinan dan kepercayaan kepada pakar-pakar tempatan dengan inovasi-inovasi mereka untuk diketengah dan dikomersilkan.

Kelima, reformasi menyeluruh pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi dibuat agar rakyat dapat akses kepada pendidikan yang berkualiti tinggi dan bermakna dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka. Pendidikan berkualiti dan relevan untuk semua, adalah kunci kemajuan negara-negara yang berjaya. Tanpa pendidikan sebegini, negara akan terus berada dalam keadaan yang tidak menentu dan tidak terurus.

 

Dato Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden, Parti BERJASA

 

10 April 2020

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *