‘TikTok’: Menteri KPT Tiada Agenda Bina Generasi Muda

Penganjuran pertandingan ‘TikTok’ membuktikan Menteri Pengajian Tinggi tiada agenda yang jelas untuk membina generasi pemimpin masa depan, kata Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.

Menyifatkan aplikasi TikTok sebagai hiburan, beliau berkata, pertandingan seumpama itu tidak memberikan sebarang faedah kepada pelajar sekolah apatah lagi Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Hiburan ada di mana-mana, kerana perangai manusia suka berhibur. Tetapi, bukan perangai manusia untuk bekerja keras membina wawasan Malaysia sebuah negara paling berpengaruh dalam kerjasama Asia Tenggara sebagai pengimbang kuasa besar dunia.

“Adakah pelajar-pelajar IPT kita ada wawasan sebegini? Bukankah mereka bakal pemimpin masa depan? Ataukah mereka dibiarkan berada dalam kepompong kepenggunaan dan kepengikutan?

“Hinggakan fenomena Tik Tok pun digalakkan untuk diikut dan diguna. Apalah nak diharapkan untuk mencipta dan memimpin fenomena baharu, yang menyebabkan masyarakat dunia pula mengikuti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu penganjuran ‘Contest TikTok’ menerusi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad yang bermula semalam sehingga 14 April.

Mengulas lanjut, Ustaz Mohd Hazizi menggesa pihak Islamis yang berjaya dalam kempen menjatuhkan Pakatan Harapan dan DAP sebelum ini, untuk berada di hadapan Perikatan Nasional (PN) dalam membuka ufuk pemikiran baharu supaya negara mempunyai agenda masa depan yang jelas.

“Selepas berjaya menumbangkan PH-DAP, jangan pula sekadar memunggungi PN isu demi isu. Panggung kepala untuk lihat ke mana arah tuju kita,” katanya. -ismaweb

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *