Sampai Bila Mahu Ketepikan Politik Berprinsip?

Negara kini berada dalam keadaan genting dan kritikal rentetan daripada penularan wabak Covid-19 dari negeri China. Dalam keadaan sebegini, gandingan kerjasama semua pihak termasuk rakyat, pemimpin, parti, NGO dan lain-lain amat penting untuk bersama-sama menghadapinya. Hal ini bukan sahaja dalam mengekang wabak yang berlaku malah dalam menghadapi kemelut ekonomi yang melanda negara.

Sehingga kini, dapat kita lihat permainan politik masih lagi rancak dipermainkan sehinggakan wabak Covid-19 ini pun hendak dipolitikkan. Rakyat sudah muak dengan permainan politik gelojoh, pentingkan kuasa dan kedudukan, mengambil kesempatan berbanding meletakkan kepentingan negara di depan.

Disinilah pentingnya politik berprinsip mengambil tempat, bukan hanya menjadi mantera dan manifesto parti. Malah rakyat dapat melihat bagaimana ada orang-orang politik menjadikan prinsip berasaskan kebenaran seperti bola ditendang sana sini dengan alasan maslahah, kena fleksibel, matang dan sebagainya.

Sedar atau tidak, pinsip berasaskan kebenaran ini digadaikan agar untuk menjadi popular atau taksub kepada parti. Amat malang bagi rakyat, menjadi mangsa kepada penipuan dan pembohongan serta manipulasi data, maklumat dan sebagainya.

Ambil pengajaran dari wabak Covid-19 ini, berkata benar dan mengakui kelemahan serta menerima hakikat, adalah jalan ke depan yang akan menyelamatkan lebih ramai rakyat dari terkorban. Pertistiwa di Amerika Syarikat dan sebahagian negara di Eropah di mana pemimpin utama menidakkan seriusnya wabak ini, mengaburi mata rakyat dengan mengatakan wabak ini akan berakhir dengan pantas dan lain-lain alasan semata-mata untuk menang dalam pilihanraya, telah memakan diri.

Malaysia juga telah mengalami fenomena ‘denial syndrome’ ini pada masa awal tersebarnya wabak ini demi pelancongan. Kita harap ini tidak akan berlaku lagi dan tindakan kerajaan yang tegas, berpandukan maklumat yang benar, adalah amat-amat diharapkan.

Saya menyeru sekali lagi kepada semua terutama ahli-ahli politik, baik dalam kerajaan atau bukan kerajaan, berkata benar dan jujur dalam semua tindakan dan urusan mereka. Allah maha mengetahui dan melihat segala tindak-tanduk kita. Semoga Allah merahmati kita dengan rahmat dan hidayahNya agar keberkatan kepada rakyat dan negara dapat dinikmati dan terselamat dari wabak dengan segera, dan terhindar dari situasi ekonomi gawat di masa akan datang.

Dato’ Dr Ir Ts Badhruhisham Abd Aziz
Presiden BERJASA

 

 

 

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *