KENYATAAN MEDIA ANGKASA: 3 SERUAN ANAK MUDA UNTUK KERAJAAN BAHARU

Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) terlebih dahulu ingin merakamkan sekalung tahniah kepada YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8.

Kami juga menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong di atas kebijaksanaan baginda menyelesaikan kemelut politik negara dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan seiring dengan perlembagaan dan undang-undang negara.

Justeru, ANGKASA menyeru agar rakyat Malaysia khususnya generasi muda untuk menghormati keputusan baginda dan terus menjunjung institusi Raja.

ANGKASA ingin menyatakan 3 seruan kepada YAB Perdana Menteri dan gagasan kerajaan baharu dalam memastikan kesejahteraan negara buat semua, iaitu:

1. Membentuk secepat mungkin barisan kabinet dari kalangan pemimpin yang berwibawa dari sudut kemampuan mentadbir dan bersih dari salahlaku . Dapatkan semula kepercayaan rakyat dengan melantik ahli kabinet berdasarkan merit, bukannya demi kepentingan politik sesetengah parti semata-mata. Kami percaya rakyat terutama anak muda mengimpikan pemimpin yang berkaliber.

2. Menumpukan kepada pemulihan ekonomi dan mengatasi kelemahan tadbir urus samada di zaman BN mahupun PH. Tidak hanya menuding jari, kerajaan era baharu mestilah mengemukakan solusi yang kreatif dan terbaik yang benar-benar berkesan dan bukan sekadar gimik politik.

3. Membuka lebih peluang kepada golongan muda dan profesional untuk menyumbang kepada pentadbiran baharu. ANGKASA yakin ramai dari kalangan anak muda mempunyai pelbagai idea yang dapat memajukan negara. Sebagai tonggak utama sesebuah peradaban, anak muda sewajarnya diberi lebih ruang untuk menentukan halatuju pembangunan negara.

ANGKASA mendoakan agar kepimpinan YAB Perdana Menteri sentiasa dibimbing oleh Allah swt demi kesejahteraan negara.

Asyraf Badhrulhisham
Ketua Penerangan ANGKASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *