Golongan Elit Permainkan YDPA

BANGI 29 FEB – Pemimpin elit parti politik seolah-olah mempermainkan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, apabila beberapa kali mengubah pendirian setelah selesai perjumpaan secara peribadi antara Baginda dan setiap anggota parlimen baru-baru ini.

Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman berkata, Agong telah mengambil langkah untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlaku berikut perletakan jawatan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan penarikan diri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, pemimpin elit parti politik tidak menghormati proses itu dengan membuat beberapa perisytiharan yang berolak-alik, sekali gus menjadikan seolah-olah usaha pertemuan peribadi Baginda dengan setiap anggota parliment itu tidak mendatangkan hasil.

Pemimpin elit parti politik ini bukan sahaja sudah mempermainkan undi rakyat, malah mempermainkan SPB YDP Agong.

“Mereka seperti memperlekeh SPB YDP Agong, apabila beberapa kali mengubah pendirian, justeru, eloklah dibubarkan Parlimen. Rakyat tidak bodoh dan tidak mahu diperbodohkan,” katanya.

Pagi ini, PH membuat perubahan dengan mencalonkan semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebelum ini, PH memutuskan menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Majlis Presiden Pakatan Harapan menerusi kenyataan media hari ini, memaklumkan PH menyokong penuh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri demi mempertahankan perjuangan.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut yakin mempunyai angka mencukupi untuk memperoleh sokongan majoriti di Dewan Rakyat bagi dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kerajaan PH – yang hanya bertahan satu tahun lapan bulan – akhirnya tumbang selepas Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Isnin lalu.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *