Berjasa Menyokong Pakatan Nasional Demi Mengembalikan Dominasi Politik Melayu Islam

BANGI, 30 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Rakyat masih menunggu perkembangan politik negara, walau apa sahaja keputusan selepas ini, dominasi dan kuasa mesti berpihak kepada orang Melayu dan Islam.

Demikian tegas Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Prof Datuk Ir Dr Badrulhisham Abd Aziz mengulas ‘pergolakan’ yang berlaku sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Ketika ini, Pakatan Harapan (PH) tidak lagi mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat susulan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar daripada gagasan itu.

Sebelum ini, PH membentuk kerajaan dengan 139 kerusi menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan Parti Warisan Sabah (WARISAN) serta UPKO pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, kini hanya mempunyai 102 kerusi.

Parti memerintah memerlukan sekurang-kurangnya 112 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Mengulas perkara itu, Prof Badrulhisham atau lebih mesra panggilan Tok Badh berkata, krisis politik berlaku kerana PH telah mengkhianati mandat rakyat, apabila janji-janji manifesto tidak ditunaikan.

Malah, katanya, komitmen untuk menjaga bangsa dan agama juga telah dikhianati.

“Kerajaan sebegini tidak boleh diberi peluang meneruskan pemerintahan. Lebih banyak kerosakan akan berlaku.

“Kita harap ada perubahan baharu demi memastikan dominasi dan kuasa berada semula di pihak orang melayu Islam. Pastikan pemimpin yang bentuk Kabinet mereka yang berwibawa dan kompeten. Kestabilan amat penting,” katanya.-ismaweb

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *