Kadar pengangguran anak muda semakin meruncing

Negara kita mempunyai lebih kurang 21 Universiti Awam dan 38 Universiti Swasta. Di mana saban tahun hampir 51,000 (Lima Puluh Satu Ribu) graduan dilahirkan dari universiti-universiti ini.

Menurut satu kajian yang dilakukan melalui “Malaysia’s Graduate Tracer Study” dibawah Kementerian Pendidikan pada tahun 2018, hampir 60% menganggur setahun selepas bergraduasi.

Kadar pengangguran (unemployment rate) yang diunjurkan oleh Kementerian Kewangan sewaktu pembentangan Belanjawan 2020 adalah pada tahap 3.3%. Namun, kebanyakan penganalisa luar lebih percaya kadar tersebut lebih tinggi pada 3.6% .

Angka yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan merekodkan 516,600 (Lima Ratus Enam Belas Ribu Enam Ratus) penganggur  pada suku pertama tahun 2019 sahaja.

Tahun 2020 cabarannya lebih besar. Di sebalik inisiatif skim #GraduanKerja dibawah Belanjawan 2020 yang tidak begitu jelas pelaksanaannya, Malaysia juga tidak terlepas dengan tempias fasa kemuncupan ekonomi global.

Pemerhatian ekonomi, tahun ini, semakin banyak syarikat-syarikat gergasi rancak melaksanakan penstrukturan semula organisasi melalui langkah pembuangan pekerja. Langkah ini berikutan keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.

Sudah tentu, ketidakketentuan ekonomi negara ini juga bertitik tolak dengan ketidakstabilan suasan politik tanahair. Polisi kerajaan yang tidak jelas, dasar-dasar ekonomi separuh masak, ketidakpercayaan terhadap pengurusan. Semua ini memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ditambah lagi dengan wabak penyakit yang tiba-tiba menyerang dunia ini, menjadi pembantut kepada perkembangan ekonomi negara.

Maka, persoalannya, bagaimanakah kerajaan dapat memastikan survival anak muda yang baru bergraduasi ini. Dalam keadaan hutang pendidikan dan kos sara hidup yang tinggi, anak muda kini semakin tersepit.

Kerajaan perlu berhenti bertelagah kuasa memenuhi tembolok perut masing-masing. Fokus pada kebolehpasaran graduan dengan melakukan reformasi pendidikan tinggi dalam kadar segera. Universiti tidak boleh lagi hanya menjadi sekadar ‘rubber stamp’ sijil graduasi semata. Kajian menyeluruh perlu dilakukan dalam konteks kursus dan silibus yang ditawarkan di universiti agar dapat selari dengan keperluan industri.

Kementerian juga perlu secara serius merangka program keusahawanan muda yang benar-benar berkesan dan telus. Modal pemula menjadi soal utama bagi anak muda yang mahu disuruh menjadi ‘job creator’ berbanding ‘job seeker’. Namun peluang untuk disuntik modal begitu sukar sekali buat anak muda.

Kerajaan juga harus bersikap jujur dan berani terhadap sang kapitalis yang membuka gedung-gedung kekayaan mereka di tanahair ini. Bina dasar dan polisi yang memberi kelebihan kepada anak muda kita. Tawaran gaji yang setimpal, peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan termasuklah menghapuskan diskriminasi dalam pemilihan calon pekerja.

Sesungguhnya, tirai tahun 2020 dibuka dengan penuh duka. Di sebalik virus yang menyerang dunia, terdapat dicelah-celah survival kehidupan, anak muda yang sedang bertarung fizikal dan mentalnya.

Salam Juang buat Anak Muda!

Hazwan Mohamad,

Ketua Pergerakan Pemuda BERJASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *