Arak : Apa lagi kerajaan tunggu?

Kita berada dalam keadaan yang sangat tenat. Hari demi hari, buka sahaja dada-dada akhbar, portal berita atas talian dan media sosial, kita dihidangkan dengan satu persatu kes kemalangan maut yang disebabkan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol.

Ada sang suami yang kehilangan isteri, anak yang kehilangan ibu ayah, sahabat yang berduka atas pemergiaan sahabat tersayang. Bukan kerana mereka ini lalai atau cuai. Tetapi kerana perbuatan tidak bertanggungjawab orang lain.

Namun, disebalik berita-berita tragis ini, kelihatan seperti tiada apa-apa yang drastik yang boleh dilaksana di peringkat penggubal undang-undang. Malah, Menteri yang bertanggungjawab pun masih ‘bisu’ untuk memberi solusi terbaik untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya memberi sedikit kelegaan kepada masyarakat awam.

Masyarakat awam kini hidup dalam ketakutan. Orang awam yang patuh pada undang-undang jalanraya pun belum tentu boleh berasa selamat tatkala pemandu mabuk bermaharajalela ikut suka hati di bawah kerajaan yang bacul dan lembik ini.

Kerajaan harus bertindak segera:

Pertama, kuatkuasa larangan penjualan minuman beralkohol di semua kedai-kedai serbaneka (7Eleven, KK Mart, 99 Speedmart) di seluruh negara. Minuman beralkohol hanya boleh dijual di kedai khas berlesen sahaja untuk pemantauan lebih berkesan.

Kedua, kuatkuasa larangan minum arak di kawasan awam. Minum arak di tempat awam akan mengakibatkan gejala sosial yang lebih buruk. Di negara New Zealand umpamanya, wujud penguatkuasaan minum arak di kawasan terbuka dari pukul 9 malam hingga 7 pagi.

Ketiga, penalti atau hukuman lebih berat. Disamping denda dan hukuman penjara, sudah tiba masanya pesalah pemandu mabuk ini dihukum dengan hukuman lebih berat. Kemalangan yang menyebabkan kematian mesti ditakrif sebagai kesalahan membunuh secara sengaja. Nyawa dibalas nyawa. Jangan beri hukuman minima pada kesalahan ini.

Selepas semua yang terjadi, persoalannya kini, apa lagi kerajaan tunggu? Adakah selepas anak kepada Menteri digilis pemandu mabuk baru boleh masyarakat Malaysia bersyukur untuk melihat sebuah penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dalam isu ini?

Kami mahu tindakan segera!

Hazwan Mohamad,
Ketua Penerangan BERJASA Pusat

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *