Malaysia perlukan reformis politik, segera!

Senario politik negara sejak hampir 2 tahun yang lalu, berada dalam keadaan amat membimbangkan. Ketidakstabilan politik negara yang berpunca dari perebutan kuasa yang tidak berkesudahan, mengorbankan kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat. Keadaan ekonomi yang pincang dan keadaan yang menyusahkan rakyat adalah bukti kepada perkara ini.

2. Negara memerlukan reformasi politik. Bermula dengan menggantikan pemain politik yang sedia ada yang membawa malapetaka kepada rakyat dan negara. Budaya yang menjadi darah daging ahli-ahli politik ini antaranya adalah sifat rakus dan tamak haloba serta meminggirkan kepentingan rakyat.

3. Ahli politik yang bergelar ‘warlords’ ini sudah lama patut mengundurkan diri untuk memberi laluan kepada orang lain yang lebih layak menerajuinya. Menggunakan wang dan ugutan kuasa, warlord-warlord ini tidak segan silu menampilkan akhlak dan pekerti buruk di mana saja mereka berada walaupun usia mereka sudah menghampiri kubur mereka.

4. Golongan kedua adalah golongan ahli politik yang tidak kompeten dan memang tidak berkebolehan mentadbir dan mengurus parti, apatah lagi negara. Demi gilakan pangkat dan penghormatan, mereka cuba mengaburi mata rakyat dengan ‘pakaian’ palsu mereka, baik dari segi keterampilan sehingga kepada kelayakan akademik, yang mereka tidak segan silu palsukan. Mereka ini tidak sedar, ketidakupayaan dan ketidak warasan mereka, menyebabkan keadaan pentadbiran dan pemerintahan negara menjadi kelam kabut.

5. Golongan ketiga adalah golongan ahli politik yang tiada akhlak dan tiada integriti, tidak kira samada mereka ini ‘warlords’ atau ahli politik biasa. Pembohongan adalah perkara biasa buat mereka; tidak menunaikan janji, baik dalam manifesto atau sebarang janji terutama dengan rakyat, adalah ‘kad pengenalan’ mereka. ‘Manifesto bukan Quran’, adalah di antara alasan cukup popular.

6. Negara perlukan barisan ahli politik yang berwibawa dan berintegriti, mampu menjadi pemimpin dan pentadbir negara yang berkaliber dan berjiwa rakyat. Beri peluang kepada generasi muda untuk menerajui negara tanpa membawa ‘excess baggage’ yang menjadi bebanan kepada ramai ahli politik sedia ada seperti sekarang ini. Bercakap benar, berfikiran rasional, berjiwa nasional, beradab dan berpandangan jauh serta pemimpin untuk semua rakyat, adalah antara kriteria yang semua rakyat tengah nantikan. Sudah sampai masanya mereka yang bergelar intelektual, ulama’, pemimpin jentera kerajaan, tokoh swasta, ahli akademik, ahli profesional dan pemuda pemudi hebat, menawarkan diri sebagai reformis politik tanahair demi menyelamatkan bumi Malaysia yang tercinta ini.

Dato Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc.

Presiden Berjasa

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *