PERUTUSAN TAHUN BARU 2020 PRESIDEN BERJASA

1. Alhamdulillah, kita telah memasuki tahun baru 2020 dan kita berdoa semoga Allah swt merahmati dan memberi pertunjuk kepada kita semua untuk menempuh kehidupan ini dengan iman dan taqwa serta membawa kebahagiaan dan kemakmuran.

2. Kepada semua orang Islam, marilah kita menanam azam yang kuat untuk membangunkan peradaban kita sendiri yang berasaskan tauhid sebagai alternatif menggantikan tamadun materialistik dan atheism. Dengan terbentuknya peradaban sebegini, ia akan membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada semua.

3. Walaupun kita faham dan sedar wujudnya musuh dan anasir-anasir yang sentiasa berusaha melemah dan memecahkan kesatuan kita, kita tidak ada pilihan melainkan dengan memperkuatkan jati diri, membangunkan ekonomi dan menumpukan pendidikan anak bangsa kita sebagai persiapan bagi menghadapi apa jua kemungkinan.

4. Memasuki gerbang tahun 2020 sepatutnya menjadikan kita lebih bersemangat, berusaha untuk mengembalikan kekuatan dan dominasi politik dan pemerintahan orang Islam demi kelangsungan agenda besar umat Islam sebagai khalifah yang diamanahkan oleh Allah swt. Keadaan umat di tanahair selepas PRU14 yang berdepan dengan cabaran dan ancaman yang menggugat keutuhan identiti negara, memerlukan kita untuk bangkit dan membina kesepakatan dalam semangat ukhuwah atau persaudaraan yang sebenar.

5. Kepada semua rakyat Malaysia, marilah kita semua berusaha membangunkan negara dengan bersungguh-sungguh ke arah sebuah negara yang aman, damai dan harmoni. Ini dapat dicapai jika kita semua memahami sejarah tanahair, menghormati, mengiktiraf hak dan kepentingan masing-masing berlandaskan perlembagaan negara kita.

6. Akhir sekali, kepada kerajaan yang memerintah sekarang, kotakanlah segala janji-janji yang telah dibuat demi kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat. Bertindaklah sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti dan kompeten; bukan bercakaran sesama sendiri dan sentiasa berdalih dengan menyalahkan pemerintahan kerajaan sebelum ini. Sekiranya ini tidak dapat dilakukan, lebih baik bubarkan parlimen dan kembalikan mandat kepada rakyat.

Dato’ Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz
Presiden Parti Berjasa
1 hb Januari, 2020

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *