Parti Melayu perlu bentuk kerjasama lebih utuh

Saya merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Nasruddin Hassan At Tantawi melalui hantaran Facebook & Twitter beliau yang melontarkan cadangan agar Muafakat Nasional (MN), menggantikan MCA dengan Parti Cina Malaysia.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada kakanda saya daripada parti PAS yang berjiwa besar untuk mengeluarkan kenyataan dan pandangan terhadap kelancangan parti MCA dalam isu yang mencengkam mutakhir ini.

Melalui hantaran itu, terzahir sedikit kekesalan terhadap tindak tanduk parti MCA yang mendapat sokongan padu pimpinan PAS ketika PRK Tanjung Piai yang lalu. Saya yakin, kekesalan itu turut dirasai segenap lapisan masyarakat Melayu yang melihat pendirian parti MCA yang lebih cenderung kepada pendirian parti rasis dan cauvinis DAP.

Tambah kekesalan lagi tatkala pendirian parti MCA ini tampak jelas kelihatan lagi setelah parti itu memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai yang merupakan hasil undian majoriti pengundi Melayu. Penambahan satu kerusi Parlimen buat MCA menjadi lebih kuat, diharapkan dapat mewakili majoriti pengundi Melayu, namun yang berlaku adalah sebaliknya.

BERJASA berpendapat, dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 nanti, adalah lebih baik sekiranya parti-parti Melayu membentuk kerjasama yang lebih utuh terlebih dahulu. Manakala kerjasama dengan parti-parti kaum lain diadakan selepasnya bagi memastikan dominasi politik Melayu dalam kerajaan baharu terbentuk selepas PRU-15.

BERJASA ingin menegaskan bahawa kemampanan ekonomi dan pembaikan sosial Malaysia bergantung kepada kestabilan politik orang Melayu & Islam yang menjadi tunjang kepada identiti sebuah negara bernama Malaysia sejak sekian lama.

BERJASA juga ingin menyeru agar seluruh rakyat Malaysia agar memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin baru dan segar untuk mengemudi bahtera kepimpinan Malaysia. Sudah tiba masanya, Malaysia tidak lagi berpaut pada tokoh-tokoh politik lama yang memikul beban kecurangan integriti.

Yang Ikhlas,
Hazwan Mohamad,
Ketua Penerangan BERJASA
28 Disember 2019

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *