Malaysia Menuju Negara Tua, Adakah Kita Sudah Bersedia?

Minggu ini Kesatuan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) telah menerbitkan satu kajian yang begitu menarik berkenaan reformasi sistem pencen di negara-negara maju di dunia serta cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka. Secara keseluruhannya, tidak ada negara yang benar-benar mempunyai solusi yang konkrit terhadap cabaran populasi menua atau ageing population ini. Malah negera seperti Korea, Jepun, Latvia, Estonia serta beberapa negara Balkan menghadapi cabaran yang hebat untuk mengekalkan kesinambungan dan keselamatan sistem persaraan mereka.

Hasil kajian mendapati, golongan atas 65 tahun di negara seperti New Zealand, Mexico, Jepun dan Korea Selatan terpaksa berkerja bagi menyara hidup mereka walaupun telah melepasi usia persaraan. Dijangka warga emas di Korea Selatan perlu berkerja sehingga usia 75 tahun bagi memastikan mereka mampu menyara hidup mereka setelah berhenti kerja.

Hampir kesemua negara anggota OECD mempunyai sistem pencen sosial iaitu suatu sistem jaminan pencen yang disediakan oleh kerajaan. Sistem ini memastikan setiap rakyat yang berkerja dan menyumbang ke dalam sistem pencen sosial dalam suatu tempoh yang ditentukan layak menerima sejumlah pencen yang sama tanpa mengira jumlah sumbangan individu terbabit. Kerajaan akan meletakkan suatu tahap sumbangan kepada setiap individu yang berkerja mengikut kadar gaji atau pendapatan yang diterima.

Namun dikemudian hari setiap individu akan dijamin mendapat pencen yang sama tanpa mengira tahap sumbangan mereka. Sistem ini ingin memastikan setiap rakyat mempunyai jaminan pendapatan di usia tua dan dalam pada masa yang sama sebagai langkah ‘redistribution’ bagi menyamaratakan pendapatan setiap strata masyarakat yang mempunyai pendapatan yang berbeza.

Walaubagaimanapun, Malaysia masih belum mempunyai sistem ini. Dengan pertambahan rakyat kita yang berkerja sendiri dan terlibat dalam ‘gig economy’ adakah mereka mengumpul pendapatan yang cukup di usia tua nanti. Bagaimana dengan golongan nelayan dan petani ketika usia mereka tidak lagi mampu berkerja? Siapakah yang akan menampung perbelanjaan golongan ini?

Kesemua perkara ini perlu diambil kira bagi memastikan Malaysia melangkah ke era populasi tua dalam keadaan bersedia.

Dalam pada masa yang sama, pertambahan peratus populasi tua dalam masyarakat akan menimbulkan persoalan berkenaan keberlangsungan tabung pencen sedia ada terutamanya tabung pencen penjawat awam. Sistem pencen awam semasa menggunakan kaedah sistem ‘defined benefit’.

Sistem ini menjanjikan pekerja untuk menerima sejumlah pencen berdasarkan gaji akhir atau jumlah yang dikumpul di dalam tabung pencen. Walaubagaimanapun, sistem ini telah terbukti tidak tahan lama melalui pengalaman di negara-negara maju. Kebanyakan sistem pencen di negara-negara maju telah bertukar kepada sistem ‘defined contribution’. Sumbangan pencen oleh pekerja akan dilaburkan di dalam skim pelaburan terpilih dengan mereka akan menikmati faedah pencen melalui keuntungan pelaburan tersebut.

Sistem ‘defined contribution’ ini terbukti menyebabkan jumlah pencen yang diterima sedikit rendah namun risiko ditanggung bersama antara majikan dan pekerja. Sebab itu perubahan sistem ini di negara United Kingdom misalnya menyebabkan mogok lapar dalam kalangan pekerja tetapi sistem ini dilihat lebih ‘sustainable’ dalam jangka masa panjang buat masa ini.

Sekiranya Malaysia tidak berubah kepada sistem yang lebih teratur berkenaan pencen ini dikhuatiri berlaku masalah yang lebih besar kelak.

MUHAMMAD THALHAH BIN KAMAROL ZAMAN

AJKP Berjasa

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *