DAP, Peguam Negara jangan kacau siasatan kes abu mayat Chin Peng !

BANGI, 2 Rabiulakhir 1441H, Jumaat – Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menggesa Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak melibatkan diri dalam siasatan kes abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng.

Ketuanya, Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, perkara ini bagi menjamin integriti dan kewibawaan Pejabat Peguam Negara yang saban hari menerima imej buruk akibat kepincangan Tommy melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau berkata, sekiranya Tommy enggan berbuat demikian maka Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad wajar mengambil tindakan menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya digantikan jawatan beliau kepada individu yang lebih berwibawa.

Pada masa sama, beliau turut menggesa pihak berwajib supaya berjaga-jaga dan membuat siasatan terhadap kumpulan yang menyeludup masuk abu mayat Chin Peng serta pihak yang menyokong mereka.

“Tahniah diucapkan kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) atas usaha tangkas mereka mengambil tindakan selepas terdedahnya kes penyeludupan abu mayat Chin Peng. Semoga pihak PDRM dapat melaksanakan tugas mereka dengan saksama.

“Selain itu, tangan-tangan luar terutamanya dari ahli politik khususnya DAP yang menguasai kerajaan wajar dijauhkan daripada mempengaruhi siasatan pihak polis. Berikan ruang kepada pihak berwajib melaksanakan tanggungjawab mereka untuk keamanan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Abu mayat bekas pemimpin PKM itu dilaporkan dibawa ke Ipoh, Perak pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari sama.

Dalam perkembangan sama, Iqbal Hakim hairan, apabila ada pihak yang memandang remeh abu mayat bekas pemimpin komunis itu dibawa masuk ke Malaysia.

Katanya, isu yang cuba dipandang remeh oleh sesetengah pihak ini perlu dinilai kembali kerana dengan kejayaan menyeludup masuk abu mayat ke dalam negara, tidak mustahil perkara ini membawa bersama agenda perjuangan Chin Peng suatu ketika dahulu.

“Ada yang mengatakan abu mayat itu sekadar abu mayat. Maka, tidak perlu diperbesarkan isunya. Maka, mengapa perlu sehingga ada usaha gigih untuk membawa masuk abu tersebut ke dalam negara?

“Apa bezanya sekiranya abu mayat itu dibiarkan sahaja berada di tempat asalnya dan berbanding di bawa masuk ke dalam negara?,” soal beliau.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *