Isu Chin Peng: Usaha runtuh hegemoni orang Melayu

KOMUNISME dari sudut falsafahnya memang menolak agama; agama itu ‘candu’.

Orang Melayu tak perlu hadir kelas mengenai ideologi komunisme, untuk menolak komunis.

Ini kerana kepercayaan bahawa komunis itu jahat dan bahaya disemai dan ditanam ke dalam hati sanubari orang Melayu melalui kaedah kuasa pengaruh persuasif (hegemoni) Melayu oleh kerajaan dominasi Melayu sebelum ini.

Pengalaman pahit ketika era keganasan komunis dulu telah diceritakan oleh kerajaan terdahulu melalui pelbagai medium; silibus sejarah, dokumentari filem negara, filem, drama Melayu dan lain-lain. Selain itu, penyebaran cerita jahatnya komunis berlaku melalui institusi keluarga Melayu, turun-temurun.

Cerita melalui agensi kerajaan dan melalui kaedah organik institusi keluarga Melayu ini, membentuk cara fikir rakyat yang menolak komunis. Anggapan dan kepercayaan komunis itu jahat dan bahaya adalah salah satu ramuan dalam hegemoni (pengaruh persuasif) Melayu di tanah berdaulat ini.

Hegemoni ini dikawal sepenuhnya oleh pihak yang dominan, iaitu yang berkuasa. Mudah cakap, puak DAP yang dominan dan berkuasa sekarang menggerakkan kaum Cina untuk menyemai hegemoni (kuasa pengaruh persuasif) Cina yang mesra komunis dan dalam masa yang sama berusaha untuk meruntuhkan hegemoni Melayu yang antikomunis.

Pihak yang dominan ada kuasa, sama ada untuk memobilisasi segala sumber untuk menyemai hegemoni pro komunis atau untuk tidak mengambil tindakan ke atas segala perlakuan pro komunis oleh ‘orang perseorangan’ (yang kemungkinan besar dirancang)

Usaha ini akan berterusan, selagi DAP (dan MCA di satu pihak lagi) kekal dominan dalam kerajaan yang memerintah, sehinggalah satu hari nanti generasi orang Melayu yang merupakan penduduk asal dan majoriti ini mempunyai pendirian neutral terhadap komunis dan komunisme.

Isu abu mayat Chin Peng hanyalah satu daripada jutaan usaha yang mereka lakukan untuk meruntuh hegemoni Melayu dan memacak hegemoni Cina. Dan ini bukan isu abu mayat wahai Tan Sri Annuar Musa, yang tidak melanggar mana-mana undang-undang. Jangan jadi naif, tertipu dalam tempurung kepartian, demi menjaga hati MCA.

Ustaz Hazizi Abdul Rahman
Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa)

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *