Terus desak KPM tolak cadangan bina sekolah vernakular baru

BANGI, 23 Rabiulawal 1441H, Rabu – Penubuhan sekolah vernakular diakui ramai pihak sebagai penyebab ketidaksefahaman dan perpaduan antara kaum, kata Ketua Wanita Berjasa, Azizah Che Awang.

Beliau berkata, sehingga hari ini sekolah vernakular masih mengekalkan identiti mereka, termasuk mengutamakan sekolah bangsa sendiri.

“Sama ada SJKC atau SJKT. Contohnya, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar (tertakluk pada Akta Pendidikan) tidak diamalkan.

“Hal ini menyebabkan tiada kesefahaman, toleransi dan perpaduan antara kaum.” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Penyata Razak sebelum ini membenarkan dua aliran di sekolah rendah iaitu SK dan SJKC/T, manakala di sekolah menengah semua pelajar sepatutnya mengikuti sekolah aliran kebangsaan – bahasa Melayu adalah bahasa pengantar- bagi menjamin perpaduan dan keharmonian antara kaum.

“Tetapi atas desakan pertubuhan cina seperti Dong Zong dan kuasa politik yang didominasi DAP, ia menyebabkan sekolah vernakular bertambah,” katanya sambil mendesak kerajaan bertegas mengekang permasalahan dan pertambahan sekolah jenis kebangsaan.

Serentak itu, beliau berharap Majlis Guru Besar Kebangsaan dan Kesatuan Guru akan terus mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menolak segala cadangan pembinaan sekolah vernakular yang baru (SJK atau SMJK).

“Pada masa sama, pihak berwajib perlu memperkasakan sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan mewujudkan kelas bahasa Cina dan Tamil di setiap sekolah kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengesyorkan supaya kementerian menempatkan lebih ramai guru Melayu di sekolah vernakular bagi mengajar subjek bahasa Melayu dan Sejarah.

“Tujuannya bagi mengelakkan eksploitasi informasi. Kita harap KPM mempertahankan Perlembagaan bagi menjamin perpaduan dan keharmonian.

“Ia dapat melahirkan jati diri nasional berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, DAP – parti yang dominan dalam kerajaan – akan bekerjasama dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Kuala Lumpur akan memastikan niat mencabar kedudukan sekolah Cina dan Tamil tidak kesampaian.

“Kami tidak boleh menghalang seseorang untuk (bawa isu) ke mahkamah dan kami tidak leka.

Jika dia mahu lakukan provokasi, maka kami pasti akan menggunakan sifat paling keras untuk mempertahankan hak belajar bahasa ibunda,” kata Nie Ching seperti dilapor Sinchew Daily.

Kenyataan Nie Ching itu susulan keputusan peguam, Mohd Khairul Azam yang mahu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular.

Azam berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu undang-undang sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.-Ismaweb.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *