Berjasa seru kepada dominasi dan penerusan agenda kesepakatan Melayu Islam

1. Berjasa, sebagai parti yang meletakkan agenda perpaduan ummah sebagai salah satu agenda utama perjuangannya, ingin mengulangi komitmen dan seruannya kearah perkara tersebut.

2. Sejak PRU13 lagi, Berjasa telah membawa agenda ini di bawah slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ dan ‘Pilih Calon Muslim Berwibawa’ yang berdasarkan atas kesedaran kuasa Melayu Islam semakin hilang disebabkan pertelingkahan yang berpanjangan.

3. Walaupun usaha dan niat Berjasa dipandang serong dan menerima kritikan hebat dari banyak pihak, BERJASA terus istiqamah dalam pendiriannya dan tidak menoleh ke belakang untuk merealisasikan matlamat kesatuan itu.

4. Alhamdulillah, dengan kesedaran semua pihak yang ingin melihat perpaduan Melayu Islam menjadi kenyataan dan seterusnya mengembalikan dominasi pemerintahan dan politik Melayu Islam yang akan membawa kestabilan negara tercinta ini, Berjasa yakin seruan ikhlas ini mendapat sokongan majoriti rakyat terutama sekali orang Melayu.

5. Berjasa menyeru semua parti dan NGO Melayu serta orang perseorangan menggabungkan diri dalam kesepakatan ini, meletakkan agenda ini di depan dengan mengenepikan kepentingan diri sendiri, dan menjadikan perkara yang lepas sebagai pengajaran berguna agar apa yang berlaku dalam PRU13, PRU14 dan PRK Tanjung Piai baru-baru ini, tidak akan berulang lagi.

6. Orang Melayu tidak boleh bersifat apologetik dan tunduk kepada tekanan-tekanan yang melampau dari pihak lain dalam memperjuangkan agenda ini. Tun Hamid telah mengulangi banyak kali bahawa berjuang mengangkat maruah bangsa Melayu dan mendaulatkan Islam, adalah bukan perkauman. Utamakan kepentingan kuasa dan masa depan orang Melayu dengan rasa ‘izzah’ dalam perjuangan Islam yang penuh dengan keadilan dan kasih sayang walaupun tegas.

7. Dalam masa yang sama, perancangan pembangunan dan keutuhan kekuatan bangsa Melayu dengan berteraskan Islam, pasca PRU15 dan seterusnya, perlu dibangunkan secara holistik. Ini perlu dilakukan dengan melihat kepada paksi-paksi kuasa dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, teknologi, sosial, perundangan, pertahanan dan lain-lain agar penguasaan orang Melayu Islam dapat diteruskan dan dimantapkan.

 

DATO’ Ir. Ts. Dr BADHRULHISHAM ABDUL AZIZ, F.A.Sc

Presiden Berjasa

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *