PRK Tg Piai: Menang berprinsip, kalah bermaruah

BANGI, 20 Rabiulawal 1441H, Ahad – Kegagalan merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai tidak melemahkan semangat parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) untuk meneruskan agenda mengembalikan dominasi kuasa politik orang Melayu.

Atas pegangan itu, Presidennya, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, Berjasa akan kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Beliau menyifatkan, bilangan undi yang diperoleh Berjasa dalam pilihan raya kecil (PRK) semalam iaitu 850 sebagai ‘kemenangan’ berprinsip serta kekalahan bermaruah.

“Kita menghormati pilihan penduduk Tanjung Piai. Kalah menang adalah perkara biasa dalam pilihan raya.

“Objektif kami untuk menyampaikan mesej penting dalam agenda Berjasa iaitu penyatuan ummah. Kita mahu orang Melayu dan Islam bersatu padu. Berjasa tidak di sini jika UMNO pada awalnya meletakkan calon Melayu.

“Kami telah mengotakan janji kepada penduduk Tanjung Piai dan seluruh rakyat Malaysia untuk bertanding apabila BN meletakkan calon bukan Melayu,” katanya kepada pemberita, semalam.

Secara keseluruhan, Prof Badhrulhisham berpuas hati dengan keputusan semalam, meskipun tidak berjaya memperoleh jumlah undi yang sama dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Berjasa berdepan dengan dua calon gergasi iaitu kerajaan serta Barisan Nasional (BN) yang masih mempunyai sokongan kuat di Johor khususnya di Tanjung Piai.

“Insya-Allah pada masa akan datang kita mempunyai peluang dan kembali (bertanding),” katanya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai ditawan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Sementara, calon Gerakan, Wendy Subramaniam meraih 1,707 undi, Prof Badrulhisham mendapat 850 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.-Ismaweb.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *