Kestabilan Melayu Islam manfaat semua kaum

Saya tinggal di satu daerah kecil di Johor. Sejak dari kecil saya diajar oleh ayah dan emak untuk menghormati setiap manusia. Baik daripada agama dan bangsa apa pun. Emak saya adalah seorang yang berbangsa Cina dan ayah saya pula seorang guru.

Majoriti pelajarnya adalah daripada kaum Cina dan India. Setiap kali ayah saya pergi ke pekan, beliau pasti akan disapa oleh anak-anak murid beliau dari kaum-kaum lain. Ada di antara mereka memberikan diskaun setiap kali ayah saya pergi ke pasar dan membeli peralatan kebun di pekan.

Kalimah “Cikgu cikgu” masih terngiang-ngiang lagi di telinga saya. Ibu saya pula walaupun telah memeluk agama Islam, namun beliau tetap memelihara hubungan yang baik dengan keluarganya.

Tapi itu situasi hampir 20 tahun lepas. Ayah dan emak saya berkata kini suasana itu tidak lagi berlaku seperti itu. Seakan wujud satu jurang yang besar antara kaum di Johor. Kehidupan tidak lagi seharmoni dulu. Dahulu ketika semuanya berada dalam keadaan ekonomi yang hampir serupa, suasana harmoni itu ada.

Namun kini, apabila jurang ekonomi semakin melebar, jurang antara kaum juga semakin lebar. Paling mendukacitakan, apabila keadaan politik, ekonomi dan sosial orang Melayu semakin lemah, kaum-kaum lain mula tidak percaya dan hormat pada orang Melayu lagi.

Parti politik orang Melayu dilihat sebagai parti picisan yang kelihatan bodoh dan tidak berwibawa. Belum ditambah lagi dengan isu-isu seperti korupsi dan sebagainya. Jika dahulu kaum lain boleh merasa aman orang Melayu kuat dan dominan dalam politik, sehingga kehidupan mereka menjadi terjamin, mereka boleh berekonomi dengan baik. Tetapi kini tidak lagi, orang Cina dan India tidak lagi percayakan orang Melayu.

Apabila tidak percaya kepada orang Melayu, kaum-kaum lain juga menuntut hak pemerintahan dan bermacam-macam hak daripada kerajaan. Kerana mereka merasakan diri mereka ditipu selama ini.

Kini, bagaimana orang Melayu boleh kuatkan kembali keadaan politik, ekonomi dan sosial mereka, supaya bangsa lain boleh kembali hormat kepada mereka dan kesatuan negara pulih seperti sedia kala?

Syarat pertama orang Melayu sendiri kena mencari parti yang benar-benar ikhlas dalam usaha untuk menyatu padukan orang Melayu. Dan bukannya fikir soal kemenangan parti mereka semata-mata.

Kewujudan sebuah parti baru dinamakan Berjasa menarik perhatian ramai. Saya menantikan apakah yang mampu dilakukan oleh Berjasa. Parti ini bukan dari parti yang berpaksikan kepada parti komponen dalam kerajaan mahupun pembangkang. Parti ini punya idealisme tersendiri dan tidak terikat kepada mana-mana komponen politik kepartian.

Calon-calon mereka juga sangat profesional dari sudut kelayakan dan baik sakhsiah serta agamanya. Saya percaya jika rakyat memilih mereka, bukan sahaja nasib orang Melayu akan terbela, tetapi kaum lain juga akan merasakan kemakmuran seperti apa yang mereka rasa puluhan tahun dahulu.
Asyraf  Wong,
Anak Jati Johor
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *