PRK Tanjung Piai: Budaya pertahan kerusi tradisi dah lapuk

BANGI, 30 Okt – MCA nampaknya masih angkuh dengan pendirian sendiri apabila masih mahu mengetengahkan calon dari partinya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, tanpa mengambil kira kemahuan rakyat tempatan yang lebih cenderung kepada calon Melayu.

Ketua Pemuda Barisan Jemaah Islam SeMalaysia (Berjasa), Iqbal Hakim Abdul Razak menegaskan, budaya mempertahankan kerusi tradisi pada hari ini sudah lapuk dan perlu kepada pendekatan lebih segar. 

“Kali pertama kerusi Tanjung Piai dipertandingkan menyaksikan pertembungan antara calon bukan Melayu. PRU 2008 dan PRU 2013 pula menyaksikan pertembungan calon MCA dgn Calon Melayu daripada DAP. 

“Kecenderungan pengundi Tanjung Piai berubah dengan BN-MCA menang kerusi tersebut dengan majoriti semakin berkurang. PRU14 calon Melayu daripada Bersatu melawan calon MCA dan natijahnya kerusi ini jatuh ke tangan PH,” katanya kepada Ismaweb.net.

Beliau turut mempersoalkan apa salahnya MCA menunjukkan semangat mereka menyokong usaha murni Muafakat Nasional dengan memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di Tanjung Piai.

“Rakyat Malaysia tidak pernah lupa peristiwa PRK Balakong yang menyaksikan betapa angkuh MCA mencampak ke tepi semangat politik muafakat dengan bertanding menggunakan lambang parti sendiri, tidak menggunakan lambang Barisan Nasional. Akhirnya, MCA malu sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MCA tidak boleh menafikan pengundi Melayu mulai mengubah kecenderungan untuk menyokong calon Melayu di tempat mereka. 

“Dan adakah perkara itu sesuatu yang pelik? Tidak. Yang pelik adalah bila nampak nyata pola pengundi mulai berubah, namun, orang yang nak bertanding degil dan tidak mahu berubah. Itu pelik.

“MCA selayaknya menunjukkan sikap boleh bertolak ansur dengan kehendak rakyat, terutama kehendak penduduk Tanjung Piai.

“Bukan sedikit yang menyuarakan kemahuan mereka untuk mendapat wakil daripada orang Melayu, bersesuaian dengan komposisi majoriti masyarakat Melayu di Tanjung Piai,” katanya.

Apa yang lebih perlu diutamakan, katanya, adalah kesepakatan dalam blok pembangkang berbanding mementingkan diri, semata-mata ingin mendapat kerusi dalam parlimen dan kononnya mempertahankan kerusi tradisi.

“Berubahlah kepada gaya berpolitik yang lebih sihat dan matang, bukan kekal di takuk lama,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Barisan Nasional (BN) dilaporkan akan mengumumkan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pengumuman akan dibuat di Pusat Gerakan BN selepas solat Isyak.-Ismaweb

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *