Layaklah Bersatu ceraikan DAP

BANGI, 25 Okt- Sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai suara dan sokongan yang kuat dalam Pakatan Harapan (PH), mustahil untuk ahli DAP ‘membaham’ rakan komponennya sendiri, kata Iqbal Hakim Abdul Razak.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) itu berkata, mustahil juga untuk DAP dan ahlinya memperguna wang kerajaan mengikut kehendak mereka dan melihat PH didominasi parti itu.

Menyifatkan nasib Bersatu seperti habis madu sepah dibuang, beliau berkata, DAP dan pengikutnya sedang menunggu masa untuk menurunkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad daripada tampuk kepimpinannya.

“Bagi mereka, lebih cepat lebih bagus kerana ternyata pada pandangan mereka yang bermanfaat dalam PPBM hanyalah Tun Mahathir seorang, yang lain itu tidak.

“Pakatan rapuh yang diwujudkan semata-mata untuk memenangi pilihanraya, dengan jalan menabur fitnah dan mengadu domba, bukanlah pakatan yang boleh kekal lama,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Iqbal menyifatkan PH hanya kelihatan cantik pada permukaannya sahaja, namun isinya hodoh dan penuh dengan budaya politik kuno yang saling mencantas dan menjatuhkan antara satu sama lain.

“Apatah lagi bila dalam parlimen satu parti komponen itu punya suara (jumlah kerusi) yg sedikit, pasti sekali tidak mengundang hormat daripada parti komponen yang lain. Itulah yang dihadapi oleh PPBM dalam pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP.

“Layaklah untuk PPBM menceraikan DAP dengan apa yang mereka zahirkan pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kesepakatan orang Melayu sebagai rakyat majoriti dalam negara perlu diutamakan kerana dengan stabilnya politik untuk majoriti, maka ia seimbangkan iklim politik negara keseluruhannya.

“Pintu masih terbuka, tangan masih mampu dihulurkan untuk Bersatu turut sama menjayakan agenda kesepakatan orang Melayu bersam-sama dengan Berjasa, PAS, UMNO dan rakan komponen parti pembangkang yang lain.

“Ketepikan ego diri, utamakan kesejahteraan untuk rakyat dan negara,” katanya.

Hubungan DAP dan Bersatu dilihat tegang kebelakangan ini susulan kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu yang menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu.

Ronnie turut memberi amaran Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.

Kenyataan Ronnie mengundang pelbagai respon terhadap pemimpin itu, termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Maszlee Malik menyifatkannya sebagai biadab kerana merendah-rendahkan Bersatu.-ISMAWeb

 

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *