AHLI POLITIK MASAKINI TIDAK BOLEH DIPERCAYAI DAN DIHARAP?

Ketika saya berforum dalam Wacana Sinar bertajuk Melayu Islam Pasca PRU15 pada bulan Ogos lepas, dua orang ahli panel banyak kali menekankan sebelum mengemukakan hujah mereka, mereka adalah bukan ahli politik.

Penafian ini menarik minat saya walaupun ianya adalah tepat dan sesuai dengan jawatan mereka selaku penyelidik, ahli akademik atau penganalisa politik.

Perkara yang sama juga berlaku, pada 16hb Oktober yang lalu, ketika saya mengikuti sebuah forum mengenai sejarah konsep rahmatan lil alamin di sebuah universiti tempatan dimana seorang panel mengemukakan pendapat beliau yang mengkritik ahli-ahli politik di Malaysia bertanggung jawab dengan kemelut negara pada hari ini dengan menjadikan rakyat sebagai mangsa mainan dan agenda peribadi mereka.

Tetapi mesej yang hendak digambarkan seolah-olah pendapat, cakap dan idea ahli politik tidak boleh dipercayai sebab ada kepentingan parti dan peribadi. Ini juga pandangan sebahagian rakyat Malaysia yang sudah muak dan mual dengan gelagat ahli politik sekarang ini yang tidak ada prinsip dalam memperkatakan tentang apa-apa isu, lebih-lebih lagi dalam membuat sesuatu keputusan.

Kepercayaan kepada ahli politik sememangnya pernah berada di tahap yang rendah pada satu ketika dulu dan semakin teruk, sejak akhir-akhir ini.

Parti Berjasa mengambil pendekatan berbeza dalam hal ini dengan menampilkan kelainan ahli-ahli politiknya. Sebagai sebuah parti yang telah lama ditubuhkan (1977) dan pernah memerintah sebuah negeri selama sepenggal, berada dalam pakatan kerajaan dan pakatan pembangkang, Berjasa bertekad untuk keluar sebagai parti politik yang matang dan segar serta menampilkan pemimpin politik yang berwibawa dan berjiwa rakyat.

Pemimpin politik yang ingin ditampilkan dan dibangunkan adalah satu kumpulan pemimpin yang ikhlas, bersih dan sarat dengan idea-idea bernas untuk membangunkan negara. Pemimpin yang mampu menyelami jiwa rakyat dan berusaha mengutarakan model-model penyelesaian masalah negara dan rakyat.

Integriti dan jatidiri yang bersandarkan al-Quran dan Sunnah akan menjadi ciri utama pemimpin politik yang mendapat kepercayaan rakyat. Bukan itu sahaja, pemimpin politik yang diharapkan ini mempunyai harga diri, berjiwa besar, berprinsip dan tidak goyah dengan perkara-perkara yang berlaku disekelilingnya. Memimpin melalui teladan dan berorientasikan tindakan juga adalah sebahagian ciri-ciri pemimpin politik yang diidam-idamkan.
Setelah sekian lama rakyat Malaysia berketuakan pemimpin-pemimpin politik yang tidak berprinsip, hidup untuk kepentingan diri sendiri, rakus mengejar pangkat dan harta, membawa agenda asing, memungkiri janji manifesto dan berpura-pura, sudah sampai masanya rakyat Malaysia berhak mendapat pemimpin yang jauh lebih baik untuk memimpin mereka.

Keadaan negara yang berada dalam kacau bilau disebabkan kepimpinan politik yang rapuh dan tidak berintegriti, perlu diubah kepada sebuah negara yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin Melayu Islam yang berwibawa yang memahami tuntutan Ilahi untuk bangkit sebagai khalifa.

Walaupun dianggap oleh banyak pihak, ini adalah terlalu ideal, kami ingin nyatakan ianya boleh menjadi kenyataan dan dengan ini sahaja yang akan dapat menyelamatkan ummah ini dari terus terjebak dalam kancah penghinaan dan dicucuk hidung, menurut hawa nafsu dan acuan Barat.

Pemimpin sejati yang berwibawa akan dapat membangunkan sebuah peradaban yang kita impikan yang akan membawa manusia kepada kebahagian dan kesejahteraan dimasa akan datang. Dengan ini pemimpin politik yang dipilih oleh rakyat nanti, bukan sahaja mendapat kepercayaan dan keyakinan mereka, malah akan dihormati kerana meletakkan kepimpinan politik itu di satu tahap yang unggul, yang diharap dapat membangunkan sebuah negara peringkat yang gemilang.

Dato’ Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden BERJASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *