Belanjawan 2020: Kerajaan Perlu Beri Perhatian Kos Sara Hidup Anak Muda

Pembentangan Bajet 2020 akan menyusul tidak lama lagi. 

Seperti kebiasaannya ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional, kita tidak akan terlepas daripada mendengar bisik-bisik mengatakan pembentangan bajet tahun ini adalah bajet ‘gula-gula’ untuk menangi undi rakyat.

Untuk kali ini, ini tahun kedua pembentangan bajet dibawah Pakatan Harapan. Bisik-bisik seperti kebiasaanya masih lagi diteruskan. Cuma berbeza sedikit tahun lepas, ada nada marah, kecewa dan sedih.  

Apa tidaknya, Bajet 2019 yang lalu antara intipatinya adalah;

1.Peruntukan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dikurangkan nilainya. Malah jumlah penerimanya juga semakin mengecil.

2.Peruntukan Bantuan Baucar Buku 1 Malaysia/Kad Debit yang dahulu mahasiswa menerima lebih kurang RM250 sudah ditiadakan dan digantik hanya dengan nilai RM100 sahaja untuk pelajar universiti.

3.Ketidaktentuan peruntukan untuk nelayan, pekebun kecil, peladang dan rakyat luar bandar.

4.Tiada hala tuju jelas dalam membantu masyarakat pertengahan di tengah bandaraya dan juga pembinaan infrastruktur awam. 

Konlusi Bajet 2019, semakin mengecil faedah yang diterima rakyat marhaen dan rakyat diminta untuk ‘berkorban’ untuk menyelamatkan negara.

Apa cerita Bajet 2020? Selepas setahun lebih dipuncak kuasa, kerajaan Pakatan Harapan yang dahulunya menjanjikan bulan dan bintang tatkala ingin sampai ke puncak, kini seolah-olah hilang fokus. Segala macam formula tercanggih yang pernah dihidang di kepada rakyat dahulu, kini jika boleh mahu dihapus lenyapkan.

Justeru itu, ini adalah gesaan BERJASA untuk Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan.

1.Naikkan gaji minimum seperti yang dijanjikan. Kerajaan yang menang dengan manifesto-manifesto indah kepada orang muda antaranya menjanjikan pemberian gaji minimum RM2,500 sebulan kepada golongan belia perlu berani mengotakan janji dalam Belanjawan kali ini. BERJASA menggesa kerajaan merujuk penelitian tentang tangga gaji anak muda dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia yang secara jelas menyatakan bahawa kadar gaji di Malaysia direkodkan tidak meningkat naik seiring dengan kadar kos sara hidup malah ada laporan mengatakan gaji yang diberi tidak setimpal dan tidak relevan.

2.Merapatkan jurang gaji pegawai atasan dan pekerja. BERJASA turut menggesa agar kerajaan memperkenalkan akta korporat khusus bagi mengekang jurang pembayaran gaji yang sangat ketara antara pegawai atasan di GLC dengan kumpulan pertengahan dan bawah. Penggubalan dan penguatkuasaan akta ini amat penting bagi memastikan semua golongan pekerja mendapat manfaat yang k

3.Wujudkan peluang pekerjaan yang bermaruah kepada golongan belia. Seharusnya kerajaan menginsafi akan kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia iaitu melebihi 10 peratus. Tumpuan harus diberikan untuk mengembeling segala idea dan tindakan bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang bermaruah, bukan sekadar cadangan membenarkan ‘Gojek’ demi menutup kelemahan kerajaan dalam mewujudkan sektor pekerjaan yang lebih bermaruah.

4.Bantuan kepada Melayu/Bumiputra harus ditambah baik. Peruntukan dari sudut biasiswa kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik, usahawan kecil dan sederhana, dan termasuklah usaha bagi menambah ekuiti Bumiputra perlu ditingkatkan. BERJASA masih menanti apakah hasil dari Kongres Ekonomi Bumiputra yang dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada September 2018 yang lalu. Sehingga kini, masih tiada tindakan drastik dari kongres itu.

5.BERJASA juga menggesa agar kerajaan tidak melupakan kumpulan isi rumah berpendapatan menengah (M40) dalam Belanjawan kali ini. Jangan ulangi seperti dalam bajet-bajet yang lalu di mana tersisihnya golongan M40 dari menerima laba dari belanjawan negara. Sedangkan jika dinilai dari sudut mikronya, golongan pertengahan ini yang rata-rata tinggal di bandar besar dengan kos sara hidup yang semakin meninggi ini bakal berhadapan impak ekonomi yang besar. Justeru, amat penting bagi kerajaan untuk tidak melupakan golongan ini terutamanya dalam pemberian insentif dalam bentuk infrastruktur dan juga pemotongan cukai.

6.Kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada pembangunan dan keperluan rakyat luar bandar di Sabah dan Sarawak. Rata-rata melihat pembentangan bajet yang lalu untuk dua negeri Borneo itu amat mengecewakan. Kerajaan perlu lebih khusus dan spesifik membentangkan pelan pembangunan menyeluruh dari aspek pembangunan infrastruktur, kos sara hidup tempatan dan juga pendidikan. 

7.Akhir sekali, BERJASA berharap agar pembentangan bajet kali ini turut memberi penekanan khusus dalam aspek pembinaan identiti watan. Peruntukan khusus perlu diberikan kepada mana-mana NGO yang berwibawa bagi menjalankan gerak kerja kesedaran dan pembinaan identiti negara yang sebenar. Dalam kita mengejar keuntungan material, adalah penting bagi seluruh rakyat turut diingatkan peri pentingnya kesedaran mengukuhkan jati diri sebagai anak watan Malaysia yang tercinta. 

Hazwan Mohamad, 

Ketua Penerangan BERJASA Pusat.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *