Parlimen Tg Piai: BERJASA Gesa Letak Calon Muslim

BANGI, 28 Muharram 1441H, Sabtu – Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai mesti dipilih daripada kalangan orang Melayu Islam sebagai mengambil semangat Muafakat Nasional, tegas Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Beliau menyifatkan adalah satu kerugian di tengah semangat kesepakatan dan Melayu memimpin, calon bukan Melayu dipilih dalam PRK Tanjung Piai, sedangkan bukan mudah untuk dapat sokongan orang Melayu semula.

“MCA kena berkorban untuk bagi laluan demi kebangkitan jatuhkan PH. Lagipun calon MCA kalah dalam PRU14 lalu dan trend pengundian empat PRU lepas, Tanjung Piai menunjukkan pengundi mahukan calon Melayu,” katanya kepada Ismaweb.

Mengulas lanjut Badhrulhisham berkata, senario jika MCA bertanding dan PH letak calon Melayu menyukarkan rakyat membuat pilihan dan juga akan ada persepsi taawun PAS-UMNO sebagai retorik.

“Telah beberapa kali PRU, UMNO Tanjung Piai merayu agar kerusi Parlimen kawasan itu diberikan kepada UMNO kerana majoritinya adalah pengundi Melayu iaitu 57 peratus,” kata beliau.

Sebelum ini, PAS menyerahkan mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk menentukan calon PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor nanti.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, walaupun belum mengadakan sebarang mesyuarat, namun pihaknya menyerahkan kepada BN untuk meletakkan calon yang akan bertanding pada PRK itu.

Kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai adalah berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU14, Md Farid yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai, memenangi kerusi berkenaan dengan menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN) dan Nordin Othman (PAS).

Setakat ini, belum ada kata putus daripada pihak BN dan PAS untuk meletakkan calon di Tanjung Piai, meskipun sudah kecoh mengatakan MCA mahu mempertahankan kerusi itu yang dikatakan sebagai ‘tradisi’.

Bagaimanapun, banyak pihak yang tidak senang jika BN mempertaruhkan MCA di kerusi berkenaan – yang mempunyai majoriti pengundi Melayu – dan mengharapkan ada calon muslim bagi menguji kesungguhan kerjasama yang dibentuk PAS-UMNO baru-baru ini. -ismaweb-

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *