PRK Tanjung Piai Medan Manifestasi Semangat Muafakat Nasional Yang Pertama

 

Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham Dr Md Rafiq atas pemergian arwah. Sama-sama kita mendoakan agar arwah ditempatkan di kalangan para solehin.

Mengimbau kembali PRU14, saya turut turun dan hadir berkempen di Tg Piai memandangkan calon Gagasan Sejahtera daripada BERJASA yang bertanding di situ, bertanding dengan menggunakan logo PAS. Masih segar dalam ingatan saya dengan segala kesederhanaan yang kami ada, kami berkempen dari satu kampung ke kampung lain. Ceramah berkelompok di rumah² ahli PAS adalah jalan yang paling munasabah utk kami laksanakan ketika itu, berbanding parti-parti lain yang gah membuat ceramah² umum di lapangan² yang ada.

Jika diperhatikan keputusan PRU14, PH melalui PPBM memenangi kerusi Tg. Piai hanya dengan undi majoriti 500 lebih sahaja. Dikaitkan pula dengan demografi penduduk di situ, kurang lebih 55% Melayu, 44% Cina dan 1% India dan lain-lain, boleh dikatakan sangat sedikit undi orang Melayu kepada PH pada ketika itu.

Masakan tidak! PH menang dengan jumlah undian sekadar 47% di situ! 46% undian rakyat kepada BN dan bakinya kepada GS-BERJASA. Sifir mudahnya, sekiranya digabungkan jumlah undi kepada BN dan GS-BERJASA pada ketika itu nescaya PH tewas di Tg Piai.

Namun, mengenang kembali situasi di Tg Piai ketika PRU14, ada cakap-cakap politik daripada kem BN. Katanya di akar umbi, ada kegusaran ahli mereka yang mahukan calon lain daripada BN. Mereka mahukan orang Melayu yang memimpin mereka memandangkan majoriti penduduk di situ adalah orang Melayu. Maka tidak hairan bagi saya andai ada kumpulan akar umbi yang menyampaikan mesej protes mereka dengan tidak mengundi BN pada PRU14, maka mereka secara senyap-senyap mengundi calon Melayu daripada pihak lawan.

Boleh saya katakan, majoriti akar umbi yang membuat protes tersebut ramainya memilih untuk mengundi GS-BERJASA berbanding PH pada ketika itu.

Perkara ini perlu dinilai sebaik-baiknya oleh pucuk pimpinan Parti dalam memilih calon PRK Tg Piai yang bakal diadakan tidak lama lagi. Faktor calon itu sangat penting kerana berdasarkan beberapa PRK yg lepas di semenanjung Malaysia, sentimen ini berperanan besar dalam menentukan kemenangan dalam PRK tersebut.

Suara akar umbi mestilah didengari dan diambilkira. Jangan kerana kepentingan politik sesetengah pihak semata-mata maka sewenang-wenangnya sahaja diletakkan calon yang bakal bertanding di situ.

Muafakat Nasional punya agenda besar. Pada ketika inilah kita diuji, para rakan komponen kita diuji, sejauh mana kita benar-benar menghayati dan menjunjung semangat Muafakat Nasional seperti yang telah dimeterai 14 September yang lalu.

Iqbal Hakim bin Abdul Razak

Ketua Pemuda

Pergerakan Pemuda BERJASA

 

 

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *