Muafakat Nasional Kembalikan Dominasi Politik & Ekonomi Orang Melayu Islam

1) Berjasa mengucapkan tahniah atas majlis pemeteraian piagam kerjasama politik antara PAS dan UMNO yang berlangsung dalam suasana penuh bersejarah di Pusat Dagangan Putra (PWTC) semalam.

2) Kerjasama politik antara dua parti terbesar orang Melayu itu seharusnya mengundang rasa terharu bagi mereka yang masih ada rasa cinta dan setia pada agama dan bangsa. Tidak hairanlah ramai yang menitiskan air mata.

3) Namun kegembiraan kita tentang kerjasama itu tidak seharusnya mengalpakan kita tentang hakikat sebenar kerosakan yang telah berlaku kepada umat ini.

4) Kerjasama itu datang selepas kita hilang segala-galanya. Selepas lebih 60 tahun merdeka, bukan sahaja kita gagal menguasai 30% daripada ekuiti negara, seperti yang disasarkan DEB, malah kita hilang dominasi politik.

5) Kerajaan yang didominasi DAP kini sedang rakus menjual aset negara, merubah polisi yang menyebelahi orang Melayu dan membaham segala peluang yang ada selagi mereka berkuasa. Ketamakan mereka menyebabkan rakyat negara ini berantakan sesama sendiri.

6) Sehubungan itu, Berjasa melihat bahawa rakyat bukan sekadar menunggu untuk menjatuhkan PH, malah yang lebih kritikal mereka mahu tahu apakah perubahan yang dijanjikan oleh kerjasama PAS dan UMNO? Adakah lebih baik daripada tempoh ketika BN berkuasa? Atau sekadar tidak seburuk PH?

7) Apa yang ditunggu-tunggu oleh rakyat, Muafakat Nasional adalah gagasan yang mampu menunjukkan kematangan dan kejantanannya melalui agenda mempertahankan identiti Islam dan Melayu negara ini serta mengekang kerakusan pihak yang secara terang-terangan memusuhinya.

8) Berjasa berpandangan bahawa kerja yang perlu dilakukan oleh Muafakat Nasional adalah untuk mendapatkan kembali dominasi kuasa di tangan orang Melayu tidak mudah, apatah lagi membina dominasi ekonomi.

9) Justeru itu, Muafakat Nasional tidak seharusnya terhenti semaraknya di PWTC semata-mata, tetapi Berjasa menggesa pelan tindakan menyeluruh dilaksanakan segera bersama semua parti-parti komponen Barisan Nasional dan Gagasan Sejahtera serta NGO demi memikirkan pelan tindakan terbaik negara pasca PRU-15 nanti. 

10) Berjasa percaya, segala impian dan cita-cita rakyat perlu dibawa sebagai aspirasi tertinggi Muafakat Nasional.

Dato Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz,

Presiden Berjasa.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *