SMJKT rosakkan perpaduan nasional

Tujuan pendidikan adalah untuk menjayakan wawasan negara demi mencapai taraf negara maju dalam aspek kemajuan ekonomi, keadilan sosial, kekuatan rohani dan moral dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu. Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan dasar melalui satu sistem pendidikan Kebangsaan berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara; menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum kebangsaan yang pelbagai dan komprehensif serta peperiksaan yang sama dalam memenuhi keperluan negara dan memupuk perpaduan negara selaras dengan prinsip-prinsip Rukun Negara (merujuk Akta Pendidikan 1996). Oleh itu, dapat kita lihat bahawa perpaduan kaum adalah satu matlamat besar dalam sistem pendidikan negara berdasarkan Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957.

Sepatutnya yang dilaksanakan di Malaysia adalah sekolah satu aliran sahaja bagi mencapai aspirasi perpaduan negara tetapi Laporan Razak telah bertolak ansur di antara Laporan Barnes 1950 dan Laporan Fenn-wu dengan mencadangkan untuk mewujudkan dua jenis sekolah rendah (SK dan SJK) serta menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dan dalam masa yang sama membenarkan pengekalan bahasa lain di sekolah. Oleh sebab itu, sekolah vernakular dikekalkan hingga kini.

Apabila menamatkan pembelajaran di peringkat rendah sama ada di SK atau SKJC dan SJKT, pelajar – pelajar sepatutnya meneruskan pendidikan di SMK. Walaubagaimanapun sebahagian besar pelajar di SKJC telah meneruskan persekolahan di SMC (sekolah persendirian). Sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, kebanyakan sekolah menengah Cina ditukar menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan menggunakan bahasa Inggeris. Pada 1970-an, kerajaan mula menukarkan bahasa pengantara Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Sukatan pelajaran dan gaji guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dibiayai oleh kerajaan. Kurikulum dan bahasa pengantara sekolah ini juga sama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan. Jadi tidak hairanlah sekiranya kaum India juga berhasrat perkara yang sama ditunaikan seperti yang dimohon oleh Senator T Mohan.

Walaubagaimanapun Wanita Berjasa menolak sekerasnya kerasnya cadangan tersebut kerana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) telah menyediakan kursus pendidikan menengah (pelbagai subjek dan kemahiran)selama lima tahun yang sesuai bagi murid yang baru sahaja tamat mengikuti pendidikan rendah, menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar, menjadikan bahasa Inggeris sebagai matapelajaran wajib dan Bahasa Cina atau Tamil hendaklah diadakan jika ibu bapa sekurang – kurangnya 15 orang murid di sekolah itu memintanya.

Aktiviti kokurikulum turut diadakan serta pelbagai bantuan seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Dengan kemudahan dan infrastruktur yang lengkap di SMK, mengapa masih perlu kepada pembinaan SMJKT? Tidakkah itu akan menggagalkan lagi hasrat nasional iaitu perpaduan antara kaum. Wanita Berjasa juga meminta Kerajaan Hari Ini menghentikan penambahan SMJKC dan saluran dana ke SKJC dan Sekolah Persendirian terutama melalui Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Ni Ching.

Jadi KPM hendaklah menarik balik penubuhan Jawatankuasa Penasihat berhubung pembinaan SMJKT di Malaysia

 

Azizah Che Awang

Ketua Wanita Berjasa

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *