BERJASA MENERUSKAN KESINAMBUNGAN SERUAN KESEPAKATAN DAN PERPADUAN MELAYU ISLAM

1. BERJASA sebagai parti yang meletakkan agenda perpaduan ummah sebagai salah satu agenda utama perjuangannya, menyambut baik usaha PAS-UMNO yang serius dalam menyatupadukan orang Melayu Islam di negara ini.

2. Sejak 10 tahun yang lalu sehingga kemuncaknya pada PRU13, BERJASA telah membawa agenda ini di bawah slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ dan ‘Pilih Calon Muslim Berwibawa’ yang berdasarkan kesedaran pada masa itu, kuasa Melayu Islam semakin hilang disebabkan pertelingkahan yang berpanjangan.

3. Walaupun usaha dan niat BERJASA ketika itu dipandang serong dan menerima kritikan hebat dari banyak pihak (baik dari Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional) ,BERJASA terus istiqamah dalam pendiriannya dan tidak menoleh ke belakang untuk merealisasikan matlamat kesatuan itu.

4. Alhamdulillah, dengan kesedaran semua pihak yang ingin melihat perpaduan Melayu Islam menjadi kenyataan dan seterusnya mengembalikan dominasi pemerintahan dan politik Melayu Islam yang akan membawa kestabilan negara tercinta ini, BERJASA yakin perkara ini akan mendapat sokongan majoriti rakyat terutama sekali orang Melayu.

5. BERJASA menyeru semua pihak yang akan menggabungkan diri dalam kesepakatan ini, meletakkan agenda ini di depan dengan mengenepikan kepentingan diri sendiri, dan menjadikan perkara yang lepas sebagai pengajaran berguna agar apa yang berlaku sejak PRU14 tidak akan berulang lagi.

6. Penampilan manifesto yang mantap, menarik tetapi realistik; dan penampilan calon-calon yang berwibawa dan bersih, mesti dirancang dan diketengahkan dalam menghadapi PRU15 nanti. Rakyat menanti satu kesatuan yang berupaya memerintah negara dengan pemimpin-pemimpinnya yang mempunyai akhlak mulia, berintegriti dan ikhlas.

7. Selain itu, bukan sahaja usaha-usaha penyatuan ini diberi perhatian, malah perancangan pembangunan dan keutuhan kekuatan bangsa Melayu dengan berteraskan Islam, pasca PRU15 dan seterusnya, perlu dibangunkan secara holistik. Ini perlu dilakukan dengan melihat kepada paksi-paksi kuasa dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, teknologi, sosial, perundangan, pertahanan dan lain-lain agar penguasaan orang Melayu Islam dapat diteruskan dan dimantapkan.

DATO’ Ir. Ts. Dr BADHRULHISHAM ABDUL AZIZ, F.A.Sc
Presiden BERJASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *