Krisis Keyakinan Terhadap Kemampuan dan Kebolehan Anak Tempatan

Sejak mencapai kemerdekaan, ramai rakyat Malaysia telah melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara sehingga meraih pelbagai ijazah dari sarjana muda hingga ke ijazah kedoktoran.

Kemudian mereka mula membina kerjaya mereka dengan membangunkan kemahiran dan kemampuan masing-masing hingga ke peringkat professional.

Kehebatan dan kepakaran anak tempatan ini dalam pelbagai bidang telah mendapat pengiktirafan dari luar dan dalam negara. Bukan itu sahaja, ada diantara mereka yang dipanggil berkhidmat untuk agensi ternama di luar negara.

Malangnya, di dalam negara ini, kehebatan anak-anak tempatan ini tidak diiktiraf oleh sebahagian masyarakat dan yang paling menyedihkan oleh sebahagian pemimpin negara.

Dari bidang teknologi hingga ke pengurusan perniagaan, anak-anak tempatan tidak diberi tempat dan peluang yang sewajarnya.

Ada diantara orang kita yang menyakini orang dari luar negara mempunyai kepakaran dan kemampuan yang tidak boleh ditandingi oleh anak tempatan.

Apabila seorang sarjana Barat atau luar mengeluarkan pandangan, ada yang meyakini sepenuhnya berbanding kenyataan yang dikeluarkan oleh anak tempatan.

Bila ini berlaku, beberapa kedudukan strategik diserahkan kepada orang luar dan juga ada yang menjadi ketua jabatan atau CEO dalam pelbagai syarikat.

Malahan di universiti tempatan, ada pensyarah muda tempatan yang memilikki PhD tidak diberi peluang sewajarnya sebagai pemeriksa luar dan penyelia utama dalam pengajian siswazah. Jadi bagaimana mereka boleh menimba pengalaman jika tidak diberi peluang?

Pengalaman saya sendiri yang terlibat dalam beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan oleh agensi kerajaan dan tempatan, bila kita memberi pandangan yang berasaskan fakta, pengalaman dan lain-lain, kita disindir dengan kata-kata seperti ‘Betul ke Prof?’.

Tapi bila seorang pakar luar memberi pandangan, diterima bulat-bulat dengan rasa hormat dan tanpa kesangsian, walhal ada pandangannya yang tidak tepat atau betul!

Sudah sampai masanya, terutama dalam hal-hal kritikal yang menentukan masadepan negara, berilah peluang dan keyakinan anak tempatan untuk membuktikan kebolehan dan kepakaran mereka baik dalam akademik, GLC, dan lain-lain, termasuk dalam mendudukki kerusi lembaga pengarah agensi-agensi utama dan penting negara.

Saya percaya anak tempatan lebih patriotik, setia dan bertanggungjawab disamping kebolehannya dalam bidang kepakarannya; baik dalam memberi pandangan atau mengurus organisasi dan sebagainya.

Kenapa kita mempercayai orang luar yang mungkin hebat kepakarannya, tetapi mungkin ada agenda tersendiri dan tidak patriotik dan setia seperti anak tempatan?

Bacalah sejarah kejatuhan kerajaan Uthmaniah dan kerajaan Islam Andalusia dimana salah satu dari punca kejatuhannya, adalah mempercayai dan meminta pertologan orang luar, yang akhirnya mengkhianati kerajaan Islam itu sendiri.

Dato’ Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz

Presiden BERJASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *