Pencemaran Udara Pasir Gudang: Kerajaan Perlu Bertegas

Setelah 3 bulan berlalu dalam peristiwa pencemaran alam berpunca dari Sungai Kim-Kim yang membawa kesan buruk kepada penduduk sekitarnya, kita dikejutkan sekali lagi dengan tragedi pelajar-pelajar dari beberapa buah sekolah di Pasir Gudang yang mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.

Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan, disebabkan kejadian tersebut, sebanyak 475 institusi pendidikan diarah tutup sehingga 27 Jun nanti yang membabitkan 111 buah sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi, 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta.

Walaupun terdapat kenyataan dari kementerian terlibat, bahawa kes kali ini adalah tidak sama dengan peristiwa 3 bulan lepas, amat menghairankan sekali simptomnya adalah sama dan sekolah-sekolah yang terkesan 3 bulan sebelum ini juga adalah sebahagiannya adalah sekolah yang sama.

berharap pihak kerajaan mengambil sikap profesional dalam hal ini dengan memberi penerangan yang jujur dan betul agar kekeliruan tidak berlaku, dan yang paling kritikal adalah kesihatan rakyat

Situasi ini amat serius dan sebelum berlaku kemalangan jiwa dimasa akan datang, adalah amat wajar pihak berkuasa seperti JAS, JKKP, majlis perbandaran/tempatan dan lain-lain mengambil tindakan drastik dan tegas dalam menghalang perkara ini dari berulang kembali.

Ketua Persuruhjaya SPRM yang baru dilantik, Latheefa Koya juga diseru supaya menyiasat, jika ada bukti berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah yang menyebabkan peristiwa buruk ini berlaku kembali dalam masa yang tidak sampai tiga bulan. Kita semua difahamkan bahawa pembersihan sisa toksik telah dilaksanakan sepenuhnya dan tindakan undang-undang juga telah diambil susulan dari tragedi bulan Mac lepas. Mengapa pencemaran udara masih berlaku lagi di kawasan yang sama?

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden BERJASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *