Teo Ni Ching usah lintas garis merah

BANGI, 18 Syawal 1440H, Sabtu – “Lebih relevan sekiranya perbincangan bersama dilakukan mengenai naratif sejarah yang betul mengenai Malaysia. Satu modul khas mengenainya harus diperkenalkan, khususnya kepada murid yang mengambil UEC, SJKC dan SJKT.”

Demikian saranan Naib Ketua Wanita Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Asral Widad Ahmad Asnawi kepada Timbalan Menteri Pendidikan, yang sebelum ini mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama memberi pandangan dan idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

Menerusi akaun Facebook, Teo Nie Ching menjemput semua pihak tanpa mengira kaum dan agama memberi pandangan serta idea kepada pasukan khas secara dalam talian, bagi meneliti isu-isu membabitkan subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK).

Bagaimanapun, selepas menerima kecaman pelbagai pihak, Nie Ching menafikan beliau cuba masuk campur urusan subjek Pendidikan Islam di SK, dan menyifatkan tuduhan dilemparkan kepadanya tidak berasas, serta menjejaskan kredibiliti Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

PPKPI di bawah MPPK ditubuhkan pada 15 April lalu bagi melaksanakan kajian menyeluruh terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam untuk penambahbaikan.

Mengulas perkara itu, Asral berkata, sebaik-baiknya pandangan yang diambil kira hanya ahli akademik, aktivis serta NGO muslim yang berdepan dengan murid beragama Islam.

“Lebih relevan ambil pandangan orang Islam dan tak perlulah orang bukan Islam campur tangan. Jangan cuba merentasi garisan merah kerana jika anda berbuat demikian, orang Islam akan bangkit dan bersuara, sekali gus menimbulkan keadaan tidak selesa.

“Justeru, bagi memastikan perpaduan itu terjaga di negara ini yang terdiri daripada masyarakat majmuk, hormatilah Islam, Melayu dan Raja,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri di Bangi Golf Resort, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Asral menggesa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya lebih tegas dan bersuara menegur timbalannya untuk tidak masuk campur tangan dalam hal berkaitan Islam.

“Bagi kita itu sudah terlampau biadab, dan bagi mereka yang duduk di kementerian jika tidak menegur tindakan timbalan menteri itu maka bacullah menteri itu,” katanya.

Kredit berita dari: https://www.ismaweb.net/2019/06/22/timbalan-menteri-pendidikan-diingat-usah-lintas-garis-merah/

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *