Sudah sampai masanya Tun Dr Mahathir & Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara

Perkembangan terkini mengenai pelan penggantian Perdana Menteri menjadi topik yang hangat diperbincangkan baru-baru ini bukan sahaja di dalam negara, malahan menjadi perhatian banyak agensi media luar negara.

Dalam wawancara Tun Mahatir dengan beberapa agensi media luar negara, beliau kelihatan berdolak-dalik dalam memberi satu jawapan yang tuntas serta kerangka waktu yang spesifik mengenai penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada DS Anwar Ibrahim.

Dalam hal ini, saya sebagai seorang rakyat Malaysia, yang ingin melihat kepada masadepan negara yang lebih terjamin, berpendapat sudah sampai masanya kedua-dua pemimpin negara ini melepaskan jawatan dan melupakan hasrat menjadi Perdana Menteri. Tampuk pemerintahan negara patut diserahkan kepada mereka yang lebih berkemampuan, berwibawa dan ‘lebih muda’ untuk menentukan halatuju yang lebih cemerlang.

Tanpa menafikan peranan dan sumbangan Tun Mahathir kepada negara semasa menjadi Perdana Menteri keempat selama 22 tahun, negara sekarang ini memerlukan satu kepimpinan yang baru, segar dan dinamik untuk mengeluarkan negara dari kemelut politik, ekonomi dan sosial yang memberi kesan besar kepada semua rakyat.

Kita kena akui kemampuan Tun Mahathir untuk memimpin dan merubah keadaan negara pada masa sekarang ada hadnya dan inilah masa terbaik untuk melepaskan jawatan beliau kepada kepimpinan yang baru.

Pada masa yang sama, sudah sampai masanya juga DS Anwar Ibrahim untuk melupakan hasrat beliau untuk menjadi Perdana Menteri dan seperti saranan di atas, rakyat Malaysia mahukan perubahan yang konkrit demi kestabilan dan kemakmuran negara. Pertelingkahan dan perbalahan politik dalam perebutan jawatan Perdana Menteri amat merugikan semua pihak.

Telah tiba masanya untuk semua pihak mengakui dan menerima hakikat Tun Mahathir dan DS Anwar Ibrahim perlu ‘bersara’ dari politik tanahair. Samada menggantikan kedua-dua pemimpin ini dengan pemimpin baru dari kalangan PH atau mungkin yang lebih baik, memberi mandat kepada rakyat untuk menentukannya dengan pembubaran parlimen!

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden BERJASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *