Krisis Kuala Koh: Berhenti Berpolitik, Fokus Membantu

1. Pergerakan Pemuda Berjasa mengikuti secara rapat kes kematian 14 Orang Asli suku Bateq yang berlaku di Kuala Koh. Takziah diucapkan kepada para keluarga mangsa yang terbabit. Kes kematian yang dipercayai berpunca daripada jangkitan saluran pernafasan adalah sesuatu yang mendukacitakan dan perlu mendapat perhatian utama daripada semua pihak berkuasa tempatan.

2. Mengikuti perkembangan terkini, Pergerakan Pemuda Berjasa melihat wujud pihak-pihak yang menangguk di air keruh dengan mempolitikkan isu ini. Pergerakan Pemuda Berjasa menyeru agar semua pihak berhenti bermain politik dan fokus kepada menyalurkan bantuan dan melaksanakan langkah penyelesaian bagi mengatasi situasi ini. Masyarakat Orang Asli Kuala Koh tidak memerlukan pandangan-pandangan berbaur politik bahkan mereka memerlukan bantuan serta sokongan dari aspek moral mahupun material bagi berhadapan situasi ini.

3. Laporan terkini mengatakan hasil daripada bedah siasat 2 orang penduduk Orang Asli Kuala Koh, punca kematian adalah disebabkan berlaku jangkitan saluran pernafasan (Bronchopneumnial)). Jangkitan ini berpunca daripada jangkitan bakteria pada paru-paru dan saluran pernafasan. Bakteria yang menjadi punca kepada penyakit salur pernafasan ini pula berada di alam sekitar secara semulajadi.

4. Antara sebab utama mengapa seseorang individu sakit dengan teruk akibat daripada jangkitan paru-paru ini adalah kerana kekurangan daya tahan dan imunisasi badan mereka. Amat penting bagi pihak berkuasa tempatan membantu memberikan pemahaman kepada Masyarakat Orang Asli Kuala Koh tentang punca sebenar penyakit yang melanda komuniti mereka ini kerana inilah yang mereka mahu tahu. Seterusnya, langkah-langkah untuk mencegah penyakit ini daripada merebak perlu dilaksanakan dan Masyarakat Orang Asli Kuala Koh perlu dibantu untuk diberikan penempatan semula, penempatan yang mempunyai kemudahan-kemudahan asas yang lebih terjamin dan kurang risiko terdedah kepada jangkitan.

5. Pergerakan Pemuda Berjasa maklum akan laporan media yang mengambil kata-kata penduduk, kemungkinan mereka jatuh sakit berpunca daripada meminum air daripada sumber air yang telah tercemar. Laporan awal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan tiada pencemaran dan kesan radioaktif di beberapa tempat sekitar Kuala Koh. Laporan daripada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia pula hanya akan diperolehi paling awal pada minggu hadapan. Justeru, Pergerakan Pemuda Berjasa menyeru kepada semua pihak untuk tidak menyebarkan persepsi mahupun kontroversi tentang perkara ini. Berikan kepercayaan kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan fokus kepada apa yang mampu kita laksanakan untuk membantu Masyarakat Orang Asli Kuala Koh.

6. Pergerakan Pemuda Berjasa menyokong segala usaha untuk mengatasi situasi yang dihadapi oleh Masyarakat Orang Asli Kuala Koh, termasuklah penubuhan Jawatankuasa Khas yang menyiasat punca kejadian ini. Jawatankuasa Khas ini hendaklah dianggotai oleh kalangan mereka yang ahli dalam bidang mereka, baik daripada agensi Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri, dan bukannya orang-orang politik sentiasa menunggu untuk menangguk di air keruh. Ini masanya untuk semua pihak bersepakat bagi menyelesaikan masalah rakyat. Maka, bekerjasamalah!

 

Iqbal Hakim Bin Abdul Razak

Ketua Pergerakan Pemuda Berjasa

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *