KERUGIAN BESAR JIKA LYNAS BERPINDAH KELUAR NEGARA

Tindakan demi tindakan yang diambil oleh kerajaan PH terhadap pengeluar bahan nadir bumi, Lynas sejak akhir-akhir ini telah menyebabkan pihak Lynas mencari alternatif lain termasuk berpindah. Desakan yang tidak berasas seperti mengembalikan sisa yang terbukti tidak merbahaya dari kilang Lynas (erdasarkan kepada kajian-kajian dan laporan terdahulu), ke tempat asal menjadi bahan tertawa dunia. Malah kerajaan Australia menolak cadangan ini kerana ianya bukan amalan biasa dalam dunia perindustrian.

Nadir bumi adalah bahan yang amat penting, kritikal dan strategik dalam teknologi moden hari ini yang mana negeri China merangka pembangunannya dalam persaingan teknologi berasaskan nadir bumi. Pemimpin China dahulu, Deng Xiaoping pernah membuat kenyataan bahawa jika Timur Tengah mempunyai minyak, kami ada nadir bumi. Malah perang dunia ketiga mungkin akan meletus disebabkan oleh bahan nadir bumi ini.

Pada hari ini, pertelingkahan antara Amerika Syarikat dengan China dalam perang ekonomi bermula dengan sekatan kepada pengeluar produk telefon mudah-alih, Huawei telah menyebabkan China sedang mempertimbangkan serangan balas dengan menghalang negara-negara maju mendapatkan bahan nadir bumi dari negaranya yang merupakan pengeluar utama dunia ( lebih 80%). Jika ini berlaku, negara-negara maju ini tidak akan dapat mengeluarkan produk eletrik, eletronik, komunikasi, minyak, bateri, kereta hybrid, pertahanan, tenaga dan pelbagai yang memerlukan nadir bumi.

Kilang nadir bumi paling moden dan salah satu yang terbesar di dunia, di samping China berada di Malaysia iaitu kilang Lynas. Walaupun bukan kepunyaan negara, kedudukan kilang Lynas di Malaysia mampu memberi satu kelebihan kepada negara dalam saingan teknologi ini. Malah jika China tidak membenarkan syarikat-syarikat negara maju membeli nadir buminya, tidak mustahil banyak syarikat-syarikat teknologi ini akan berpindah ke Malaysia.

Oleh itu, saya menyeru kerajaan pada hari ini untuk mengambil tindakan yang sewajarnya dalam isu Lynas, berpandukan fakta saintifik dan kebenaran, bukannya berdasarkan kepentingan politik setengah-setengah pihak. Amat malang jika ada ahli-ahli politik  masih menggunakan isu ini untuk memenangi pilihanraya akan datang dengan ‘mengapungkan’ isu Lynas ini, seperti mana yang pernah mereka lakukan dalam PRU-PRU yang lepas.

 

Dato’ Dr Ir Ts Badrulhisham Bin Abdul Aziz

Presiden Berjasa

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *