ISU MATRIKULASI DEDAH PEKUNG DI DADA DAP DAN SEKUTUNYA

1. Pergerakan Pemuda BERJASA mengikuti dan menilai berita dan maklum balas berkaitan polemik isu Matrikulasi dan Menteri Pendidikan Malaysia. Hari demi hari menyaksikan polemik ini semakin berselirat dan bersimpul, tidak ada tanda-tanda isu ini akan reda dengan baik.

2. Kenyataan awal Menteri Pendidikan tentang kuota kemasukan ke program matrikulasi dikekalkan dalam nisbah 90:10 untuk pelajar bumiputera:bukan bumiputera telah mengundang reaksi negatif daripada kem beliau sendiri, hatta Timbalan Menteri Kewangan juga berdalih daripada menyatakan sokongan terhadap keputusan Kabinet tersebut. Tambahan pula keluar suara yang membantah keputusan tersebut datang daripada rakan sekutu lama DAP, Parti Gerakan, yang suatu ketika dahulu mereka bergandingan berarak dan berdemonstrasi di Kuala Lumpur.

3. Polemik ini berterusan apabila satu lagi kenyataan Menteri Pendidikan telah dipetik baru-baru ini yang mengaitkan sistem kuota matrikulasi dengan diskriminasi dalam pasaran pekerjaan di Malaysia. Bertambah-tambah reaksi negatif daripada kumpulan-kumpulan bukan bumiputera, baik dari kem PH mahupun pembangkang, sehingga wujud satu petisyen menuntut Menteri Pendidikan dilucutkan jawatannya.

4. Pergerakan Pemuda BERJASA melihat perkara ini bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana umum mengetahui kesepakatan dan kesatuan hati antara komponen PH adalah rapuh dan lemah sekali. Bukan dalam isu matrikulasi sahaja, bahkan dalam banyak lagi isu lain rakyat melihat kepimpinan PH sering menyanggah antara satu sama lain.

5. Rakyat juga melihat betapa dalam PH yang jelas memaparkan imej berkuasa lagi menguasai adalah DAP. Rakan sekutu mereka yang lain hanya sekadar berperanan untuk membantu DAP mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada BN dalam PRU14. Setelah itu, DAP yang memainkan peranan besar dalam menentukan halatuju polisi dan dasar negara. Lihat sahaja kepada tindak tanduk mereka, lebih-lebih lagi dalam Kementerian Pendidikan di mana Timbalan Menteri Pendidikan dipaparkan dengan imej bertindak cekap berbanding Menteri Pendidikan sendiri.

6. Pergerakan Pemuda BERJASA dengan ini menyeru kepada para pimpinan PPBM untuk melakukan muhasabah dan menilai kembali pakatan yang kalian buat bersama DAP dan sekutu-sekutunya. Tindakan terbaikuntuk kalian adalah dengan meninggalkan PH yang ternyata jelas dipergunakan oleh DAP untuk meraih sokongan rakyat majoriti di Malaysia iaitu orang Melayu dan Bumiputera semata-mata demi mencapai kemenangan dalam PRU14. Kini mereka sudah jadi kaduk naik junjung, kalian pula ibarat habis madu sepah dibuang.

7. Ketahuilah sesungguhnya kestabilan politik dan sosial di Malaysia hanya dapat dicapai dengan kesepakatan agenda rakyat majoriti, iaitu kesepakatan Orang Melayu Islam dan Bumiputera, dalam usaha membentuk perpaduan nasional, pembentukan polisi dan halatuju kerajaan Malaysia demi mencapai Malaysia yang aman makmur dan sejahtera berpanjangan.

Iqbal Hakim bin Abdul Razak
Ketua Pergerakan Pemuda BERJASA

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *