KOS SARA HIDUP : NAIKKAN GAJI ADALAH JAWAPANNYA

1.Masalah marhaen yang sentiasa malar segar (“evergreen”). Walaupun sudah bertukar kerajaan, namun nampaknya marhaen masih lagi merungut tentang perkara yang sama. Sayur mahal, telur naik harga, ikan kembong RM25 sekilo, cili naik lebih 40% dan banyak lagi keperluan asas yang sentiasa menjadi keluhan warga marhaen.

2.Tanggal 9 Mei 2018 yang menjadi ‘impian’ ramai marhaen untuk melihat harga barang turun mendadak akibat kempen ‘HAPUS GST’ berlalu begitu sahaja. Hakikatnya, dengan ketiadaan GST telah menggoncang sedikit keadaan ekonomi negara yang sedang berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global masa kini. Ditambah pula dengan dasar-dasar kerajaan yang tidak menentu dan gagal meyakinkan pelabur luar.

3.Natijahnya, yang paling teruk terkesan pastinya golongan B40 dan juga M40. Ramai bertanya, apa itu kos sara hidup? Secara ringkas, ia merujuk kepada sejumlah wang yang diperlukan oleh seisi rumah untuk berbelanja ke atas barangan dan perkhidmatan bagi survival taraf hidup.

4.Saya melihat kos sara hidup ini lebih tepat diukur dengan melihat perbandingan antara kos barang atau perkhidmatan dan peningkatan atau penurunan pendapatan isi rumah.

5.Dalam bahasa mudahnya, kenaikan harga barang akibat ketidaktentuan ekonomi semasa dapat ditampung dengan kenaikan gaji atau pendapatan isi rumah. Makna kata, jika pendapatan isi rumah lebih tinggi daripada peningkatan harga barang, maka masalah kos sara hidup dapat dikurangkan.

6.Ini ada kaitan dengan kuasa beli isi rumah (“Purchasing Power”). Di Malaysia, saban hari kita menyedari berlakunya peningkatan harga barang. Namun, bagaimana pula dengan kadar pendapatan rakyat? Kadar upah pekerja? Tangga gaji?

7.Di Malaysia, ini tidak berlaku. Pada Mac 2019 yang lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan Bank Negara 2018 menyatakan bahawa rakyat Malaysia dibayar gaji rendah. Trend permulaan bulanan bagi kebanyakan siswazah pula semakin mengecil semenjak 2010.

8.Bayangkan gaji graduan ijazah pada tahun 2010 adalah sebanyak RM1,993 dan lapan tahun kemudian ianya turun kepada RM1,983 ? Sekarang kita bandingkan dengan harga makanan (penyumbang terbesar belanja bagi B40,M40) pula. Mengikut satu kajian inflasi harga makanan dari April 2015 hingga ke April 2018, meningkat sebanyak 3.8%.

9.Sebab itu, kos sara hidup ini wahai Pak Menteri, bukanlah hanya alasan rakyat mahu kerajaan naikkan gaji semata-mata, kita mahu undang-undang buruh dikaji supaya pendapatan setimpal dengan kos hidup.Kerana hakikatnya, ia satu realiti yang ditanggung marhaen dibawah ini.

10.Bukan kami mahu bermewah di restoran Bangsar South lepak minum kopi persis KJ, Izzah & Rafizi saban hari. Tetapi mahu melepas tengkuk sendiri di hujung bulan pun sudah sangat bersyukur.

11.Justeru itu, saya menyeru, agar semua pihak agar terus membawa aspirasi marhaen. Kaji undang-undang buruh di Malaysia, agar gaji/upah diberi setimpal dengan pasaran semasa. Jika rasa tidak mampu untuk mengawal harga barang, maka gunakan kuasa untuk pastikan sang kapitalis tidak buncit sendirian. Kalau dua-dua perkara ini pun anda tak mampu buat, saya cadang marhaen buang jauh-jauh politikus yang suka berjanji bulan dan bintang tetapi hasilnya tiada.

Hazwan Mohamad,
Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA,
Presiden Professional Muslim Community (PMC).

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *