NEGARA RAHMAH MENGUASAKAN DAP

 

Rancangan ini akan ke udara pada malam ini(17 Mei 2019). Saya tidak pasti apa yang akan diperkatakan oleh menteri.

Tetapi berdasarkan senario politik yang berlaku sejak PH memerintah, saya buat kesimpulan berikut:

Negara rahmah itu ialah negara yang memberikan kuasa kepada bekas pendatang (yang pernah memegang kad pengenalan merah) untuk menandatangani ratifikasi Undang-undang Antarabangsa Statut Rome yang meletakkan Ketua-ketua Agama negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dalam risiko didakwa melakukan diskriminasi kerana melaksanakan peruntukan Undang-undang Syariah sedia ada seperti hukuman ke atas pasangan gay dan lesbian.

Negara rahmah itu ialah negara yang tunduk pada perancangan DAP agar Malaysia meratifikasi ICERD yang akan menyebabkan orang-orang Melayu dan bumiputera kehilangan hak istimewa seperti yang terjamin dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Negara rahmah itu ialah negara yang membiarkan Peguam Negaranya bertindak melanggar prinsip undang-undang negara apabila dia menfailkan afidavit bahawa kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bukan akibat dipukul, sebelum prosiding inkues bagi mengenal pasti punca kematian selesai.

Negara rahmah ialah negara yang membenarkan salah guna kuasa Pejabat Peguam Negara yang memutuskan menarik balik kes Lim Guan Eng, bekas anak guam Tommy Thomas sebelum dia menjadi Peguam Negara, yang menyebabkan SPRM sendiri terkejut dengan keputusan itu.

Negara rahmah ialah negara yang membenarkan pencemaran terang-terangan kredibiliti badan kehakiman apabila Ketua Hakim Negara dan Peguam Negaranya menari bersama individu (Siti Kassim) yang sepatutnya didakwa di bawah Seksyen 509, lebih kurang dua bulan sebelum Pejabat Peguam Negara membatalkan arahan AGC untuk mendakwa individu tersebut.

Negara rahmah ialah negara yang melantik individu yang pernah memfitnah Malaysia (Waytha Moorty) di dunia antarabangsa dan tidak pernah meminta maaf atas kesalahan itu, sebagai menteri perpaduan, dan selanjutnya negara rahmah itulah yang membiarkan menteri tersebut membuat kenyataan menghasut rakyat beragama hindu agar tidak menghormati pihak berkuasa melalui sidang media yang menyalahkan pihak polis atas kes huru hara di sebuah kuil haram.

Negara rahmah ialah negara yang membenarkan kerajaan yang mungkir hampir kesemua janji-janjinya untuk terus memerintah negara.

Negara rahmah ialah negara yang menteri jaga agama Islamnya memberikan pentas sidang media kepada aktivis dan pejuang transgender, bertempat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, yang boleh dibaca sebagai satu tindakan pengiktirafan secara tak langsung yang tidak mampu dinafikan walaupun beribu kenyataan sebaliknya dibuat.

Negara rahmah ialah negara yang melantik menteri kewangannya daripada parti chauvinis rasis yang menyebabkan peruntukan untuk sekolah vernakular dan kolej swasta Cina mudah mengalir ibarat air terjun pada ketika menteri pelajaran terkial-kial memohon peruntukan untuk sekolah kebangsaan bagi semua kaum.

Negara rahmah ialah negara yang tidak dapat mengawal menularnya fahaman sesat liberalisme, syiah dan gaya hidup terlaknat seks songsang, sehingga memaksa badan-badan sukarela bukan kerajaan dan rakyat marhaen umat Islam untuk bersuara lantang menentang pejuang-pejuang sesat ini akibat kebaculan dan kedayusan pemerintah negara rahmah.

Negara rahmah ialah sekolah persendirian menengah Cina dapat peruntukan mudah RM12 juta, manakala sekolah-sekolah Islam swasta terpaksa mengadakan majlis Iftar Amal pada bulan Ramadan dengan restu kosong oleh menteri pendidikan, untuk kumpul dana.

Negara rahmah ialah negara yang diperintah oleh kerajaan hasil gabungan kepura-puraan dua pemimpin parti yang bermusuh sejak lebih 20 tahun yang lampau dan kekal hingga kini, yang memberikan ruang keemasan bagi parti chauvinis rasis DAP untuk berkuasa.

Negara rahmah ialah negara yang hilang dominasi kuasa politik orang Melayu dan umat Islam, yang menguasakan parti chauvinis rasis DAP untuk melaksanakan perancangan mereka bagi menghapuskan saki baki penguasaan Islam, Melayu dan institusi Raja di negara ini.

Banyak lagi kalau saya nak senaraikan konsep negara rahmah berdasarkan senario politik yang berlaku.

Kita tunggu malam ini, adakah perbincangan menteri ada mengupas sebahagian isu-isu pokok yang saya sebutkan ini?

Adakah kupasannya itu berisi atau sekadar retorik kosong?

Atau adakah menteri akan syok sendiri?

Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden Berjasa

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *