Siyasah dan Politik

Perkataan siyasah terdapat dalam satu hadith Nabi S.A.W.:

“كَانَتْ بَنُو اِسْرَائِيْلَ تَسُوْسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِيْ وَسَيَكُوْنُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُوْنَ…”

Maksudnya: “Adalah Bani Israel itu dahulu, para nabi yang memimpin mereka. Setiap kali wafat seorang nabi, maka seorang nabi yang lain menggantikannya. Sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku. Akan ada khulafa’ dan mereka itu ramai…”

Siyasah dalam hadith di atas mengenai erti memimpin dan mengetuai.

Apabila seorang ulama Syafie menegaskan bahawa “Tiada siyasah kecuali yang menepati syarak”, maka Ibnu Aqil memberikan respon berikut, yang mengandungi definisi siyasah:

“Siyasah ialah apa sahaja tindakan yang menyebabkan manusia menjadi lebih dekat dengan kebaikan ( الصَلاح ) dan lebih jauh daripada kerosakan ( الفَسَاد ), walaupun ar-Rasul tidak menetapkan tindakan itu dan tiada turun wahyu (spesifik) mengenainya. Jika engkau bermaksud daripada kalammu “kecuali yang menepati syarak” itu ialah tidak menyanggahi apa yang dituturkan oleh syarak, maka betullah. Jika engkau bermaksud tiada siyasah kecuali yang dituturkan oleh syarak, maka salah, dan menyalahkan (tindakan-tindakan) para sahabat”.

Terdapat dua kata kunci dalam definisi siyasah yang diberikan oleh Ibnu Aqil itu. Pertama ialah ( الصَلاح ) yang sama kata akarnya dengan maslahah, dan ( الفَسَاد ) yang sama kata akarnya dengan mafsadah. Maslahah erti mudahnya ialah manfaat dan kepentingan, manakala mafsadah erti mudahnya ialah kerosakan, keburukan dan kemudaratan.

Kata kunci yang kedua ialah menepati syarak. Ini bermaksud walaupun tindakan siyasah itu tidak mempunyai dalil spesifik daripada al-Quran dan as-Sunnah, ia mestilah menepati kehendak syarak, dengan maksud berada dalam kerangka yang diizinkan oleh syarak, tidak menyalahi mana-mana dalil sedia ada.

Politik digunakan dalam konteks pemerintahan sesuatu komuniti kaum, negara dan dunia antarabangsa. Manakala siyasah lebih luas daripada itu, termasuk dalam konteks tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa dan guru demi mendatangkan kebaikan dan menjauhkan kerosakan berdasarkan definisi Ibnu Aqil di atas.

Siyasah juga diamalkan dalam bidang ekonomi, undang-undang, pendidikan dan sebagainya. Perbahasan mengenai pemerintahan sesebuah negara hanyalah satu juzuk daripada siyasah.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *