PEMIMPIN TIDAK JUJUR PUNCA POLEMIK SABAH SARAWAK

Isu Sabah dan Sarawak sebenarnya ialah isu ketidakjujuran pemimpin muslim selama ini, kerajaan dahulu hingga kerajaan hari ini, dalam memperjuangkan nasib rakyat kedua-dua negeri itu.

Ketidakjujuran itu berlaku dalam bentuk kemudahan dan pembangunan yang diusahakan oleh pemimpin politik hanyalah sekadar bertujuan mendapatkan sokongan undi rakyat Sabah dan Sarawak.

Kekayaan bumi Sabah dan Sarawak dikaut habis-habisan melalui kroni, manakala untuk rakyat disisakan sekadar untuk dapat sokongan agar kekal di kerusi pemerintahan.

Tiada agenda jangka panjang untuk pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat yang menyeluruh.

Situasi sebegini amat subur untuk operasi menghasut oleh DAP dan konco-konco evangelist, mencucuk jarum permusuhan kaum, agar rakyat Sabah dan Sarawak bangkit, bukan sekadar menuntut pembangunan, malah mahukan pemisahan daripada Malaya.

Cubaan pindaan Perlembagaan semalam oleh kerajaan PH juga adalah jelas sekali ibarat telunjuk lurus kelingking berkait.

Krisis integriti pemimpin politik dalam negara kita sudah sampai ke tahap berpotensi untuk memecah belahkan Persekutuan menjadi negeri-negeri kecil.

Mereka hamba kepada kepentingan nafsu politik kepartian mereka. Mereka bukan berjuang untuk rakyat sebenarnya. Mereka tidak jujur.

Perkara yang sama berlaku dalam kes Tabung Haji. Dr Mujahid terlalu gopoh untuk mendedahkan kepincangan yang dikatakan berlaku akibat penyelewengan pengurusan lalu di bawah BN, tetapi ternyata akibat daripada kegopohan itu TH terpaksa berdepan dengan risiko “bank run”.

Semuanya gara-gara tidak jujur pada agenda umat, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan parti dengan menyambar apa saja peluang untuk hentam parti lawan tanpa berfikir panjang.

Hakikatnya, pengislahan boleh dilakukan dengan tenang tanpa heboh dan menimbulkan panik rakyat.

Inilah bahana yang rakyat terpaksa tanggung apabila mendapat pemimpin yang tidak jujur pada agenda umat.

Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden Berjasa

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *