ISU LYNAS: KREDIBILITI DAN INTEGRITI KERAJAAN PH DIPERTIKAI

Saya merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri yang dilaporkan dalam Berita Harian baru-baru ini berkenaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan – “Lynas boleh terus beroperasi di Malaysia, dengan syarat bahan mentah yang dibawa ke negara ini dibersih dan dihapuskan radioaktif terlebih dahulu” (5 April 2019).

Beberapa kenyataan dari beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri yang mahukan sisa dari Lynas dihantar balik ke Australia, juga dirujuk.

Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan bahawa kerajaan ini tidak berintegriti, dangkal dan tiada kredibiliti dalam menangani isu tersebut.

Beberapa laporan saintifik dari kajian kerajaan terdahulu dan sekarang (Jawatankuasa Pilihan Parlimen, Jawatankuasa Pemantauan Keselamatan Lynas dan lain-lain), dengan jelas memperinicikan bahawa sisa yang dipertikaikan itu adalah terlalu rendah kadar radioaktivitinya dan tidak merbahaya kepada alam sekitar dan manusia. Ini disokong dengan fakta bahawa kilang tersebut adalah kilang pemprosesan mineral dan kimia, bukan kilang nuklear atau penjana tenaga nuklear; tidak ada penambahan kadar radioaktif semasa pemprosesan; pemantauan berterusan aktiviti radioaktiviti (oleh AELB dan UMP) telah diperakui dibawah kadar yang selamat dan banyak lagi fakta-fakta saintifik lain.

Berdasarkan laporan-laporan tersebut yang mengambilkira pemantauan, pandangan dan fakta-fakta agensi penguatkuasa seperti AELB, JAS dan lain-lain serta pandangan pakar-pakar tempatan dan luar negara, turut menyokong yang sisa tersebut tidak merbahaya sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Oleh itu kenyataan YAB PM sebenarnya tidak tepat dan tidak sama sekali berdasarkan fakta saintifik serta hujah yang rasional. Kenyataan lain yang meminta Lynas membawa keluar balik sisa ke negara asal juga amat janggal kerana ianya bukan amalan di seluruh dunia. Jika tidak semua sisa hasil dari pemprosesan getah, kelapa sawit, bauksit, timah dan lain-lain ekspot Malaysia akan dikembalikan ke negara kita. Ini tidak pernah berlaku sehingga hari ini.

Jadi, saya memandang serius cara kerajaan PH dalam menangani isu negara dan secara khusus isu Lynas ini, yang menunjukkan dengan jelas keputusan dibuat berdasarkan fakta dan maklumat yang tidak tepat serta berasaskan sentimen politik. Kerajan ini sebenarnya tidak kompeten dan tidak mampu mentadbir negara; kalau kebenaran yang berasaskan fakta, data dan bukti saintifik, tidak diambilkira dan dibakulsampahkan. Apalagi hujah-hujah yang rasional juga tidak diterima semata-mata kerana mahukan mengekalkan kuasa dengan cara yang tidak berintegriti.

 

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden Berjasa.

(yang juga merupakan bekas seorang Profesor Kejuruteraan Kimia dan pakar rujuk pemprosesan nadir bumi yang terlibat dalam penyelidikan berkaitan sejak 1987).

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *