PERLU SEPAKAT KEMBALIKAN DOMINASI POLITIK MELAYU

BANGI, 27 Rejab 1440H, Rabu – Perpaduan dan kesepakatan parti-parti Melayu perlu terus diperkasa bagi mengembalikan semula kuasa dominasi politik orang Melayu yang kian hilang.

Presdien Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, hanya dengan dominasi kuasa Melayu sahaja akan mampu mengekalkan survival Islam di negara ini.

Katanya, dahulu umat Islam pernah kehilangan dominasi ekonomi di tangan penjajah, namun kini walaupun sudah merdeka, Melayu hilang pula dominasi kuasa politik, apabila menjadi caturan orang bukan Islam.

“Justeru, Berjasa bawakan satu agenda kesepakatan dan kewibawaan. Kesepakatan antara orang Islam, Melayu di mana mereka yang diberi tanggungjawab adalah mereka yang berwibawa.

“Berwibawa bermakna dia profesional, ikhlas, ada integriti dan bukan taksub kepada parti sahaja. Yang itulah yang kita kena bersepakat. Kita nak kuasa politik didominasi semula oleh orang Melayu,” katanya ketika temubual bersama Ismaweb.net.

Mengulas mengenai kesepakatan dan kesatuan antara UMNO dan PAS, Dr Badhrulhisham menyifatkan ianya satu penyatuan yang terbaik untuk maslahat bangsa Melayu dan umat Islam.

Namun, katanya, kesepakatan itu haruslah melangkaui PAS dan UMNO itu sendiri supaya ia lebih terbuka dan inklusif.

“Sebab jika hanya PAS dan UMNO sahaja, benda itu tidak akan sustainable. Mungkin satu ketika ia akan berpecah atau bersatu. Tetapi jika kita letakkan kepentingan umat, agenda yang lebih berjiwa besar, bukan hanya untuk kepentingan parti, pasti umat Islam akan terbela nasibnya.

“Ini bukan benda yang mudah dan kosong. Terutama bila nak pilihan raya nanti, pembahagian kerusi pada PRU15 akan menjadi ujian sejauh mana keikhlasan dalam meletakkan agenda Islam dan ummah di hadapan, berbanding dengan agenda parti. Pembahagian itu perlu ada kesepakatanlah. Pilih yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai hala tuju Berjasa, Dr Badhrulhisham menegaskan, parti itu mahu menegakkan negara berprinsipkan Islam, termasuk mengangkat martabat dan maruah umat Islam.

Katanya, Berjasa mahu menampilkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, yang bersih dan berintegriti, yang akan membawa kita ke arah sebuah negara yang berdaulat, harmoni, makmur dan berteknologi tinggi.

“Jika kita lihat politik hari ini, banyak politik yang reaktif, politik yang tidak memikirkan jangka masa panjang. Berlainan dengan Berjasa kerana kita mahu bawa politik yang selari dengan ajaran Islam, iaitu politik yang bertanggungjawab, kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah berasaskan akhlak, menjaga maslahat manusia sejagat.

“Kita nak kembalikan kedaulatan negara ini dengan Islam dan Melayu. Kita ingin mengangkat tamadun Islam yang hebat dan terbukti, seperti apa yang kita pernah sebut dulu ketika Berjasa mula memperkenalkan Melayu Sepakat, Islam Berdaulat,” katanya.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *