Adakah Lim Guan Eng Masih Mempunyai Kredibiliti Menerajui Kewangan Negara?

Artikel Bloomberg yang bertajuk “Malaysia’s Stock Market Is Asia’s Only Loser of 2019” bertarikh 12 Mac merupakan indikator jelas mengenai kelemahan kerajaan dalam menerajui ekonomi negara. Tanda Aras Index KLCI telah jatuh lebih daripada 1 peratus menghampiri suku pertama 2019 berbanding Singapura dan Indonesia masing-masing meningkat sebanyak 4 dan 3 peratus.

Lebih memeranjatkan apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan tidak matang dengan mengatakan turun naik pasaran saham ini tidak dikawal oleh kerajaan. Sudah terang lagi bersuluh kenyataan ini hanyalah helah beliau untuk melarikan diri daripada permasaalahan yang berlaku di dalam pasaran saham negara pada hari ini.

Sekiranya beliau ingin menyalahkan situasi ini berlaku disebabkan oleh situasi pasaran saham di peringkat global yang tidak menentu atau perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, sepatutnya negara-negara lain di sekitar rantau ini juga mengalami nasib yang sama seperti Malaysia. Namun perkara ini tidak terjadi, dalam keadaan pasaran saham Malaysia terus merosot, negara-negara jiran lain seperti Singapura, Indonesia dan Thailand terus mencatatkan prestasi yang memberansangkan.

Perkara ini sebenarnya jelas menggambarkan situasi unik yang berlaku ke atas Malaysia ini adalah disebabkan oleh  beberapa tindakan kurang bijak yang telah diambil oleh kerajaan.

Tindakan yang paling tidak bijak ialah mengumumkan bahawa hutang negara berjumlah RM1 Trillion. Kiraan hutang ini telah jelas terbukti tidak menepati standard pengiraan yang telah ditetapkan oleh Bank Dunia dan IMF. Sejurus selepas pengumuman hutang 1 Trillion ini dibuat pasaran saham negara kehilangan RM31.7 Billion seperti yang telah dilaporkan oleh The Edge dalam sehari. Perkara ini berlaku kerana pengumuman ini menyebabkan para pelabur hilang keyakinan terhadap daya tahan kewangan negara yang dikatakan mempunyai hutang yang sangat besar. Tetapi semua ini hanyalah wayang politik yang telah mengorbankan ekonomi negara.

Tindakan kurang bijak kedua yang telah dilakukan oleh kerajaan ialah memberikan tekanan tidak perlu kepada GLC seperti TM dan Gamuda. Dalam isu TM tekanan tidak perlu yang dikenakan oleh Menteri Komunikasi, Gobind Singh untuk mengurangkan harga internet telah menyebabkan syarikat tersebut mencatat kerugian yang cukup besar dalam pasaran saham dan terpaksa memecat ratusan pekerja mereka. Sepatutnya tindakan yang lebih efektif adalah dengan memberikan insentif cukai kepada TM, mengawal harga syiling, memperkenalkan persaingan dan beberapa method ekonomi lain yang akan menambah kadar effisien TM serta tidak menganggu prestasi pelaburan mereka.

Tindakan kurang bijak ketiga ialah pengumuman dan kenyataan Menteri yang tidak berkredibiliti. Antara pengumuman tersebut termasuklah Harapan Coin, kereta terbang, dan isu sawit-buluh. Kesemua kenyataan kurang bijak ini akhirnya telah melemahkan keyakinan pelabur terhadap kepimpinan kerajaan Malaysia. Dalam isu Harapan Coin contohnya, cadangan ini sekiranya dilaksanakan bakal mengganggu regulasi tunai di negara ini dan seterusnya mencetuskan huru-hara yang besar kepada ekonomi negara.

Tuntasnya, Lim Guan Eng tidak perlu berdalih lagi. Inilah masanya beliau membuktikan kebijaksaan beliau dalam mentadbir ekonomi negara. Sekiranya tidak, lebih baik letak jawatan dan beri kepada yang lebih layak

Muhammad Thalhah

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Berjasa

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *