LIBERALISME

Liberalisme ialah fahaman dan pegangan yang mengagungkan kebebasan individu mengatasi tuntutan agama dan membataskan kuasa kerajaan. Ini maknanya liberalisme ialah fahaman yang berpegang bahawa agama itu soal peribadi, kerajaan tak boleh campur tangan.

Oleh sebab itu, apa-apa sahaja kesalahan agama, seperti zina dan liwat, tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh kerajaan, sama seperti minum arak, agama yang mengatakan tindakan itu haram hanyalah isu peribadi, kerajaan tidak boleh ambil tindakan selagi tidak mengganggu orang lain seperti minum dan memandu.

Liberalisme juga fahaman yang berpegang bahawa tiada kebenaran mutlak. Segala pegangan manusia, terutamanya agama, hanyalah paradigma yang berbeza-beza antara sesama manusia.

Oleh itu, orang Melayu tidak boleh berterusan mengatakan zina dan liwat itu salah dan berdosa, apatah lagi jenayah, kerana yang demikian itu pandangan menurut paradigma orang Melayu, yang tidak semestinya betul menurut paradigma orang lain.

Sehubungan itu juga, tindakan memandang serong kepada puak yang mengamalkan zina dan liwat dikira sebagai menghukum orang lain berdasarkan paradigma kita sahaja.

Jika yang memandang serong perbuatan maksiat terkutuk itu ialah majoriti rakyat, maka mereka dikatakan menindas dan menginjak-injak kebebasan individu minoriti untuk mengamalkan zina dan liwat yang dikira soal peribadi semata-mata.

Kita tak boleh memaksakan pandangan kita (bahawa perbuatan itu terkutuk) menurut paradigma kita, ke atas puak-puak yang mengamalkan maksiat terkutuk itu. Bahkan tindakan kita itu boleh dikira sebagai menceroboh hak kebebasan individu yang diutamakan dalam fahaman liberal.

Berdasarkan noktah di atas, maka liberalisme memang tak boleh terima adanya konsep amar makruf nahi mungkar (AMNM) dalam Islam.

Di peringkat individu, AMNM dilakukan dengan lisan dan dikira oleh fahaman liberal sebagai ucapan kebencian (hatred speech) kerana kita yang membenci kemungkaran dilihat oleh liberalisme sebagai membenci kebebasan individu, sementelahan kebencian kita terhadap kemungkaran itu hanyalah persepsi atau paradigma kita sahaja yang tak semestinya orang lain kena akur.

Di peringkat kerajaan, AMNM dilakukan dengan kuasa oleh penguatkuasa jabatan agama. Ini dilihat oleh liberalisme sebagai “tyranny”. Kerajaan menurut liberalisme mestilah bersifat neutral. Jika kerajaan melakukan AMNM, maka kerajaan telah menindas rakyatnya sendiri.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *