Berjasa Sambut Baik Kerjasama Rasmi UMNO PAS

Oleh: Presiden BERJASA

Kerjasama rasmi yang dicapai oleh kedua-dua parti Melayu PAS dan UMNO adalah satu pencapaian amat baik di atas jalan yang betul ke arah mengembalikan semula dominasi kuasa politik di tangan orang Melayu.

Umum mengetahui bahawa orang Melayu sudah kehilangan dominasi kuasa politik sebaik sahaja kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara sejak Mei 2018. Situasi itu menyebabkan kedudukan parti chauvinis DAP, sebagai satu-satunya parti yang tersusun rapi gerak kerjanya dalam Pakatan Harapan, mengukuhkan cengkaman pengaruhnya ke atas keputusan dan pendirian kerajaan baharu ini.

Akibat kehilangan dominasi ini, kepentingan orang-orang Melayu mula diabaikan oleh kerajaan, sebagaimana yang diakui oleh beberapa pemimpin PH pasca PRK Semenyih. Malah, kebiadaban kaum minoriti terhadap agama Islam semakin menjadi-jadi.

Berjasa menyambut baik perkembangan positif ini, sambil ingin menekankan beberapa noktah penting untuk ditekuni bersama:-

1) Asas kerjasama mestilah berdasarkan prinsip Islam dalam berpolitik, iaitu tuntutan wajib memastikan dominasi kuasa politik berada di tangan majoriti muslim, yang dalam konteks Malaysia ialah orang-orang Melayu. Fungsi kuasa yang pertama ialah melindungi agama Islam dan perkara ini tidak akan tercapai jika kita kehilangan dominasi kuasa politik.

2) Kedua-dua belah pihak, UMNO dan PAS, selaku parti orang Melayu terbesar dan banyak mempengaruhi senario politik orang Melayu selama ini, perlu bermuhasabah secara tulus akan kesilapan masa lalu, yang membawa kepada tergadainya dominasi kuasa politik ke tangan orang lain. Kesilapan itu perlu dikenal pasti secara spesifik dan diungkapkan secara jelas kepada semua pengikut, agar tidak berulang lagi di masa hadapan. Kesilapan ini bukan sekadar jatuhnya sebuah atau dua buah parti, tetapi mengancam masa depan Islam di Tanah Melayu ini.

3) UMNO dan PAS juga hendaklah tidak melupakan peranan NGO Islam yang mendesak ke arah kesepakatan Melayu demi kedaulatan Islam sejak sebelum PRU13 lagi. Mereka yang tidak mempunyai kepentingan kerusi untuk dimenangi inilah yang menjana kesedaran dalam kalangan umat Islam tentang bahayanya dominasi kuasa politik di tangan bukan Islam terhadap kestabilan negara.

4) Dominasi kuasa politik bukan dicapai melalui politik kepartian sahaja. Majoriti orang Melayu tidak berparti, tetapi bertebaran dalam pelbagai badan-badan berkepentingan dan kesatuan sekerja. Sehubungan itu, agenda penyatuan ummah tidak akan terlaksana melalui wadah parti semata-mata. Agenda penyatuan ini bukan mengenai UMNO dan PAS sahaja, sebaliknya mestilah inklusif membabitkan kepimpinan umat Islam dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Berjasa bertekad untuk memainkan peranan yang lebih besar pada masa terdekat, bagi memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan Melayu dan Islam dalam kalangan parti-parti Melayu, agar rakyat tiada lagi alasan untuk beralih arah kepada parti chauvinis untuk menangguk di air yang keruh pada masa akan datang.

الله أكبر ، ولله الحمد

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *