Pembangkang

Pembangkang politik (political opposition) dianggap salah satu karektor penting demokrasi. Perangai (behaviour) pembangkang politik dalam dunia demokrasi Barat boleh dilihat dari dua sudut yang berasingan;

1- Mengambil tanggungjawab untuk melibatkan diri dalam pembuatan dasar dan polisi bersama pihak-pihak lain.

2- Mengikut rapat kerajaan untuk mencari kesalahan dan membangkang tanpa sebarang tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah. (1)

Islam mengajar kita konsep bantu dan tegur, sebagaimana yang disebut oleh Khalifah Abu Bakr as-Siddiq, “Aku telah dilantik dan aku bukan yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku berbuat baik maka bantulah aku. Jika aku berbuat salah maka perbetulkan aku”. Kalam seumpamanya juga diriwayatkan daripada Khalifah Umar bin al-Khattab ketika mula-mula beliau dilantik jadi khalifah. (2)

Perangai pembangkang yang hanya berusaha untuk menjatuhkan kerajaan melalui tindakan sentiasa mencari kesalahan semata-mata, kemudian tidak membantu dalam membuat polisi yang bagus untuk rakyat dan tidak juga menyokong langkah-langkah kerajaan yang baik adalah satu perangai yang tidak sihat dan memudaratkan negara untuk jangka panjang.

Begitu juga perangai kerajaan yang menyalahgunakan segala kemudahan yang ada untuk mengetepikan dan meminggirkan peranan pembangkang akan menyebabkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan tidak diperbetulkan dan umat akan menanggung kesan buruknya dalam jangka panjang.

Kita juga masih terbelenggu dengan minda kepengikutan kepada budaya penjajah British sehingga ke hari ini. Kita seharusnya menggali konsep-konsep Islam dalam melaksanakan peranan semak dan imbang daripada sumber syariat yang diturunkan oleh Allah Taala untuk kemaslahatan manusia.

Mungkin istilah yang lebih sesuai dan boleh menggantikan istilah pembangkang ialah pengimbang, pengkritik, penegur, penasihat, pesaing atau apa sahaja istilah yang membawa makna peranan dan konsep bantu dan tegur di atas.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan terdapat banyak halangan untuk mengubah perkara ini terutamanya dari sudut sistem parlimen majoriti mudah memerintah dan dari sudut minda ketamakan merebut kuasa.

Rujukan:
(1) Tom Louwerse and Simon Otjes. 2018. How Populists Wage Opposition: Parliamentary Opposition Behaviour and Populism in Netherland
(2) Seerah Ibnu Hisyam

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *